Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kes Dhamendran: Polis dedah identiti suspek keempat
Diterbitkan:  Jul 16, 2013 9:11 PM
Dikemaskini: Jul 17, 2013 3:53 AM

Polis meminta bantuan orang ramai bagi mengesan seorang pegawainya yang  berpangkat inspektor bagi membantu siasatan kes kematian N Dhamendran dalam lokap polis pada 21 Mei lalu.

Pegawai berkenaan, Hare Krishnan Subramaniam yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur juga dikehendaki kerana tidak hadir bertugas tanpa kebenaran sejak 15 Jun.

Pengumuman itu dibuat Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah menerusi satu kenyataan lewat petang tadi.

"Penama juga dikehendaki bagi membantu siasatan kes kematian dalam lokap bersangkut laporan bernombor 18468/13 di Balai Polis Jalan Tun HS Lee," katanya.

Orang ramai dengan maklumat dikehendaki menghubungi Bilik Gerakan JSJ D9 IPK Kuala Lumpur di talian 03-21460685, talian hotline RakanCop iaitu 03-2115999 atau dengan mengirim khidmat pesanan ringkas (SMS) ke 22728 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Hare Krishnan merupakan individu keempat yang masih dicari pasukan tersebut.

Tiga yang lain, seorang berpangkat sarjan dan dua orang berpangkat koperal telahpun didakwa di mahkamah majistret berhubung kes kematian Dhamendran pada awal Jun lalu.

Dhamendran meninggal dunia dalam tahanan polis pada 22 Mei.

Bedah siasat mendapati ia berpunca daripada kecederaan akibat hentakan objek tumpul.

ADS