Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Guan Eng: Salur kemarahan pada kementerian
Diterbitkan:  Jul 24, 2013 2:49 PM
Dikemaskini: 7:26 AM

Rakyat Malaysia berhak berasa marah dengan penggunaan bilik persalinan sebagai tempat makan di Sekolah Kebangsaan Seri Pristana, Sungai Buloh, kata setiausaha agung DAP.

lim guan eng interview 260512 04 Lim Guan Eng ( kanan ) bagaimanapun berkata, kemarahan itu sepatutnya disalurkan kepada Kementerian Pendidikan yang didakwanya gagal memupuk rasa hormat terhadap semua agama.

"Kegagalan Kementerian Pendidikan untuk mengambil kira sensitiviti agama lain menunjukkan sikap pemimpin BN di peringkat kerajaan persekutuan," katanya yang juga ketua menteri Pulau Pinang.

Dalam kenyataannya hari ini, Lim berkata, sikap tidak sensitif itu juga diperlihatkan apabila kerajaan tidak bertindak terhadap dua pemimpin tertinggi kumpulan pendesak Melayu PERKASA- Datuk Ibrahim Ali dan Zulkifli Noordin - yang pernah terlibat dalam kontroversi melibatkan agama lain.

Bagaimanapun, tambah Lim lagi, pasangan Alvian Tan dan Vivian Lee yang didakwa mempersenda kesucian Ramadan sahaja dikenakan tindakan walaupun telah meminta maaf.

Mengulas kejadian yang pada mulanya heboh di alam maya itu, Lim berkata, ramai yang marah dengan layanan terhadap sekumpulan murid dalam isu itu kerana ia merosakkan nama baik agama Islam sendiri.

"Islam tidak membenarkan tindakan sedemikian; dan DAP berharap supaya rakyat Malaysia dapat membezakan antara Islam yang mulia dan aman, berbanding mereka yang merosakkan nama baik Islam dengan memberi layanan yang begitu menghina terhadap anak-anak kecil tersebut." katanya.

Setelah tersebar luas di Internet dan dilaporkan media, ibu bapa mula tampil menyuarakan bantahan mereka.

Seorang suri rumah Rebecca Joseph, 32, antaranya berkata , dalam bilik persalinan itu terdapat dua bilik mandi dan ada dua tandas, lapor Bernama.

Bagaimanapun, terdapat blog yang tampil membela sekolah dengan berkata keadaan sebenar tidak seperti digambarkan, malah terdapat sekeping gambar menunjukkan guru Islam turut menggunakan bilik sama untuk berbuka puasa.

Menurut blog Y1M Checkmate , tidak ada tandas dalam lingkungan 30 meter dari bilik itu.

Malaysiakini tidak dapat mengesahkan kesahihan dakwaan tersebut dan dalam proses mendapatkan maklumat lanjut daripada pihak berkuasa berkaitan dan pihak-pihak yang terlibat.

 

ADS