Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Penyertaan wanita Muslim dalam pertandingan ratu cantik diharamkan Majlis Fatwa Kebangsaan walaupun mereka tidak memperagakan baju mandi, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

"Majlis Fatwa tak sebut soal baju, dia kata pertandingan ratu cantik tak dibenarkan, ia bukan soal baju," kata Jamil Khir kepada pemberita tengahari tadi.

Beliau berkata demikian sewaktu mengulas kenyataan penganjur Miss Malaysia World 2013 yang mahu peserta Islam dibenarkan bertanding kerana mereka tidak akan memperagakan baju mandi.

Menurut Jamil lagi, keputusan majlis fatwa itu tidak boleh disemak semula dan mana-mana individu yang mahu menyangkal keputusan tersebut boleh didakwa atas tuduhan menghina fatwa.

"Kalau sangkal senang sahaja, kita ada undang-undang dan peruntukan, (hukumannya) tak berat sangat, (cuma) dua tahun (penjara) dan denda RM3m000," kata Jamil.

Katanya, hukuman itu adalah mengikut Seksyen 7 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 559).

Penganjur acara berkenaan Meridian Surf Sdn Bhd minggu lalu mendakwa peserta Muslim mungkin akan dibenarkan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) untuk mengambil bahagian kerana mereka tidak akan diwajibkan mengenakan baju mandi.

JAWI menyifatkan dakwaan tersebut sebagai satu spekulasi.

Berita berkaitan:

 
 
 
 
 

ADS