Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pemuda PAS: Haram juga lelaki sertai bina badan
Diterbitkan:  Jul 30, 2013 4:02 PM
Dikemaskini: Jul 31, 2013 12:40 AM

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) meminta agar pihak berkuasa majlis agama Islam turut bertindak ke atas golongan lelaki yang menyertai pertandingan bina badan.

Ketua penerangannya, Yusapiza Yaacob berkata, tindakan berkenaan perlu diperluas agar meliputi pertandingan bina badan kerana ia turut melibatkan aurat lelaki untuk pertandingan.

"Pertandingan bina badan tidak jauh bezanya dengan pertandingan ratu cantik ini. Kedua-duanya memakai pakaian yang jelas membuka aurat dan ditayangkan di khalayak ramai.

"Pertandingan bina badan mengenakan syarat hanya memakai seluar dalam sahaja untuk bertanding. Apakah berlakunya kes pilih kasih dalam kedua-dua pertandingan ini?,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berpendapat, Islam tidak melarang penganutnya menyertai pertandingan selagi ia menepati syarak.

Oleh yang demikian, majlis agama dan mufti perlu tegas dan tidak prejudis dalam melaksanakan tuntutan syariat, kata Yusapiza.

"Sekiranya tidak diatasi dengan bijak,  DPPWP percaya, kelak berlaku lagi polemik pertandingan ratu cantik ini sepertimana selepas tahun 1997," katanya.

Kenyataan itu timbul susulan siasatan oleh Jabatan Agam Islam Wilayah Persekutuan ke atas empat orang wanita peserta Miss Malaysia World 2013 yang didakwa mempertikaikan keputusan fatwa berhubung penyertaan pertandingan tersebut.

Empat jelitawan berkenaan menghadapi hukuman denda tidak melebihi 3,000 atau penjara oleh Mahkamah Syariah, selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

ADS