Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Lelaki maut ditembak ketika minum dengan rakan
Diterbitkan:  Aug 15, 2013 11:29 PM
Dikemaskini: 3:31 PM

Seorang lelaki yang sedang minum bersama tiga rakannya di sebuah restoran berhampiran sebuah bank di Jalan Besar Kapar di Klang, maut selepas ditembak dari jarak kira-kira tiga meter pada 2.20 pagi hari ini.

    

Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Utara Supt Jani Ahmad berkata siasatan awal mendapati mangsa S. Sambhath, 27, dan rakannya kemudian dihampiri dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha 125z.

    

"Lelaki yang membonceng motosikal itu turun dan secara tiba-tiba mengeluarkan pistol dari pinggang dan melepaskan tembakan ke arah mangsa dan rakan-rakannya, menyebabkan mereka bertempiaran menyelamatkan diri.

    

"Suspek kemudian menaiki semula motosikal bersama rakannya dan melarikan diri," katanya kepada pemberita di Klang hari ini.

    

Beliau berkata tembakan berkenaan dipercayai mengenai pipi dan dada Sambhath dan mangsa meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.

    

Jani berkata tiga lagi rakan mangsa bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

    

"Kita masih menyiasat motif kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan juga Akta Senjata Api," katanya.

    

Beliau berkata orang ramai yang menyaksikan kejadian itu serta mempunyai maklumat diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

    

- Bernama

ADS