Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN Tembakau bukanlah produk biasa yang profil permintaannya seperti produk-produk biasa - sebagaimana mahal pun tetap akan ada pembelinya. Rokok membunuh sekurang-kurangnya 50 peratus penggunanya.

Malaysia dan juga negara-negara lain dalam TPP kecuali Amerika, ahli kepada ‘WHO Framework Convention on Tobacco Control (FCTC) yang mensyaratkan supaya negara-negara ahli meregulasikan industri tembakau, mengurangkan penggunaannya dan menyekat insentif kepada industri tembakau.

FCTC merupakan perjanjian antarabangsa yang mengikat Malaysia sebagai ahli yang bermaksud untuk mewujudkan dasar kebangsaan yang bermatlamat mengurangkan penggunaan tembakau dan meregulasikan industri tembakau.

Banyak syarat dalam banyak bab-bab TPPA bertentangan dengan FCTC. Hal ini menimbulkan kebimbangan terutamanya mengenai potensi konflik di masa depan.

Isu ini menjadi lebih penting apabila kita menimbangkan kesan negatif kepada kesihatan awam dalam masyarakat yang tinggi penggunaan tembakaunya.

Kemampuan kawalan modal

Salah satu kesan utama TPPA ialah pengehadan kemampuan kita untuk melaksanakan kawalan modal.

Menurut Reinhart & Roghoff (2009), situasi pergerakan kapital antarabangsa yang tinggi selalunya menimbulkan krisis perbankan antarabangsa, seperti yang berlaku kepada Malaysia dan rantau sebelah sini pada tahun 1997, yang juga telah banyak kali berlaku dalam sejarah perbankan.

Apabila sistem kewangan diregulasikan dengan baik, kemungkinan untuk kitaran kegawatan kewangan dapat dikawal, atau sekurang-kurangnya melindungi situasi ekonomi daripada terdedah kepada kitaran kegawatan kewangan yang banyak kali kita saksikan kerana persekitaran ekonomi yang bebas tanpa kawalan.

Hal ini bukanlah bertujuan untuk menentang usaha meliberalisasikan ekonomi demi mewujudkan persekitaran ekonomi yang lebih berkesan, malah bukan juga untuk merosakkan peluang Malaysia untuk menarik pelaburan asing.

Tetapi, ia bertujuan untuk bertindak sebagai "shock absorber" atau penyerap hentakan akibat daripada krisis-krisis ekonomi yang cenderung kepada ekonomi-ekonomi yang lebih liberal.

Hal ini penting terutamanya untuk perniagaan-perniagaan dan perusahaan-perusahaan Malaysia yang masih lagi setahun jagung untuk menghadapi saingan asing.

Bukanlah satu kebobrokan pun untuk kita menyiapkan diri dengan satu sistem kawalan modal sementara seperti yang kita laksanakan ketika Krisis Kewangan Asia.

Malah IMF sendiri mengakui keberkesanan kawalan modal dalam mempercepatkan pemulihan ekonomi Malaysia berbanding Indonesia dan Thailand.

Telekomunikasi

Bahagian telekomunikasi dalam FTA yang juga dibincangkan dalam TPPA merupakan antara bahagian yang wajar diberikan perhatian.

Rancangan telekomunikasi adalah untuk mempromosikan persaingan ke atas pembekal telekomunikasi dalam kalangan negara anggota TPPA.

Perusahaan telekomunikasi daripada negara-negara rakan TPPA akan diberikan akses kepada jaringan kemudahan telekomunikasi awam sedia ada melalui jaringan kemudahan dan akses kemudahan fizikal.

Dalam kes Malaysia, kita prihatin terhadap keupayaan TM Berhad yang selama ini telah membangunkan infrastruktur fizikal telekomunikasi di Malaysia dan menghubungkan negara dengan jaringan kabel fiber optik kelajuan tinggi melalui skim Perkongsian Awam-Swasta (PPP).

Apabila pesaing asing dibekalkan akses untuk menggunakan infrastruktur sedia ada, tentu sekali tekanan hebat ke atas prospek keuntungan TM menyusul, malah mungkin mengheret syarikat gergasi telekomunikasi ke dalam krisis dan tutup kedai.

Cukai eksport

Cukai eksport dikenakan kepada pengeksport barangan utama. Cukai ini berfungsi melalui dua cara; menaikkan pendapatan kerajaan dan membangunkan industri perantara tempatan.

Cukai eksport menaikkan harga bahan mentah dalam pasaran eksport menyebabkan produk akhir yang dihasilkan oleh pasaran tempatan lebih murah dan kompetitif berbanding produk yang dihasilkan oleh pasaran luar. TPPA mahu mengubah perkara ini.

Dengan mengurangkan atau menghapuskan cukai ekport, negara seperti Malaysia yang sebahagian besar eksportnya masih barangan mentah, akan menyaksikan negara-negara rakan TPPA menikmati sumber-sumber kita dengan harga yang jauh lebih murah.

Ia seterusnya membunuh pengeluar industri perantara tempatan seperti pembekal kelengkapan teknologi dan perabot, industri penapisan kelapa sawit dan pengeluar produk tani dan makanan.

Tidak keterlaluan jika saya katakan potensi kesan ini hampir sama dengan tindakan penjajah mengambil segala sumber kekayaan asli kita satu ketika dahulu!

Pelaburan asing langsung

Kembali kepada isu perdagangan, jangkaan manfaat yang diperolehi daripada menandatangani FTA dengan Amerika akan terlihat melalui pendapatan yang tinggi dalam faedah perdagangan.

Bagaimana, sebuah negara yang secara relatifnya mempunyai kekuatan ekonomi yang lebih kuat seperti Singapura, menyaksikan peningkatan pula dalam defisit perdagangan bermula dengan AS$1.4 bilion pada 2003 apabila mereka menandatangani perjanjian, kepada AS$4.3 bilion pada 2004, AS$6.9 bilion pada 2006 kepada AS$10.5 bilion pada 2012.

Menurut laporan United Nations, tiada bukti atau korelasi yang menunjukkan peningkatan pelaburan asing (FDI) yang berkualiti daripada perjanjian-perjanjian perdagangan dua-hala selama ini.

Benar, jika kita tidak menyertai TPPA, kemungkinan trade diversion atau perdagangan yang ‘lari' daripada Malaysia kepada negara-negara TPPA tidak dapat dinafikan.

Namun kerugian daripada trade diversion ini haruslah jelas dan dipastikan mempunyai manfaat yang lebih besar berbanding pelbagai musibah dan kerugian yang dibawa oleh TPPA kepada aspek-aspek lain ekonomi negara.

Protes dunia pada FTA Amerika

Bukan asing negara seluruh dunia memprotes perjanjian FTA dengan Amerika. Di Guatemala, dua orang mati berdemonstrasi, dan rakyat Guatemala mengheret kerajaan ke mahkamah kerana dakwaan FTA terbabit mencabuli hampir 130 akta dalam perlembagaan Guatemala.

Di Ecuador pula, darurat diisytiharkan kerana demonstrasi besar-besaran. Ketua rundingan Thailand dan Colombia pernah meletakkan jawatan kerana protes hasil rundingan dengan Amerika.

Di Korea Selatan, seorang membakar dirinya sendiri sehingga mati bagi memprotes FTA dengan Amerika, yang hanya diluluskan oleh Parlimen selepas kerajaan pemerintah mengurung pihak pembangkang.

Negara seperti Argentina, Bolivia, Brazil, Paraguay, Uruguay, Venezuela, Afrika Selatan, Botswana, Lesotho, Namibia dan Swaziland juga sebelum ini terlibat dalam rundingan dengan Amerika untuk FTA tetapi kesemua rundingan itu gagal tanpa ditandatangani.

Di Malaysia, Third World Network (TWN) dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) bergerak di hadapan menentang isu FTA Amerika-Malaysia sejak 2008, dan melanjutkan penentangan terhadap TPPA.

Usaha lebih menonjol juga muncul kebelakangan ini untuk menyentuh isi rundingan TPPA melalui sebahagian bab yang tertiris kepada pengetahuan orang awam.

Pada 6 Jun 2013, Nurul Izzah mengeluarkan kenyataan akhbar mempersoalkan kerahsiaan rundingan TPPA dan bertanyakan soalan penting; adakah Malaysia merancang untuk menggadaikan kedaulatan negara hanya untuk tujuan perdagangan bebas?

Mewakili Pakatan Rakyat, beliau secara konsisten dan gigih telah memberikan tekanan yang membawa kepada penubuhan kaukus Parlimen dan peningkatan penglibatan daripada MITI.

Pada masa yang sama, momentum penentangan terus dibina oleh badan bukan kerajaan seperti BLINDSPOT, MTEM, MAC, MTUC, GBM, IKRAM yang terus-menerus mengadakan forum awam untuk meningkatkan kesedaran awam.

Usaha ini menggalakkan orang awam untuk menuntut hak bersama daripada kerajaan dalam rundingan.

Profil ternama seperti Tun Mahathir Mohamad dan Liow Tiong Lai juga secara terbuka memberikan penentangan kepada TPPA yang menuntut perhatian rakyat dalam isu ini.

Badan Bertindak Bantah TPPA

Badan Bertindak Bantah TPPA, atau dikenali dengan nama ringkas BANTAH TPPA, ialah gabungan 52 badan bukan kerajaan dan 7 Jawatankuasa Bersama yang dibentuk untuk meningkatkan kesedaran awam terhadap TPPA bagi memastikan Malaysia memperolehi manfaat terbaik daripada TPPA.

Kami berpendapat TPPA ini wujud di tengah-tengah harapan sebilangan kecil syarikat multinasional yang mencari keuntungan komersial hasil daripada bab-bab dalam rundingan, dan juga kebimbangan benar organisasi-organisasi masyarakat sivil yang mewakili rakyat 12 buah negara dalam TPPA.

Hakikatnya, TPPA bukanlah satu FTA yang mempromosikan perdagangan bebas semata-mata, kerana ia memelihara kepentingan syarikat gergasi dalam industri terpilih.

TPPA bertujuan memastikan perlindungan dan kepentingan korporat yang mengatasi kebajikan awam, keselamatan dan kepentingan sosio-ekonomi negara-negara yang ekonominya jelas lemah berbanding gergasi ekonomi dalam rundingan ini, yakni Amerika.

Perlu diingatkan bahawa Amerika dibantu oleh jawatankuasa penasihat khas terdiri daripada 1,000 orang pakar. Kami menuntut yang sama untuk Malaysia.

Satu kajian oleh UNDP tidak mencukupi untuk meyakinkan orang awam bahawa kehidupan kami dan anak cucu kami tidak terancam.

Melihat kepada rekod, Malaysia bukanlah pakar yang mahir dalam rundingan, kehilangan Blok L dan M, perjanjian berat sebelah air dengan Singapura, dan Pulau Batu Putih, sekadar menjadi contoh.

Pasukan perunding daripada MITI semata-mata tidak boleh dibiarkan menentukan nasib seluruh rakyat Malaysia.

Akhirnya, BANTAH TPPA menuntut supaya kerajaan Malaysia menggantungkan rundingan atau keluar daripada TPPA sehinggalah sebuah kajian menyeluruh analisis kos dan faedah serta kajian perbandingan dilakukan, dihebahkan kepada umum dan dibincangkan oleh semua pihak di Malaysia.

Teks rundingan perlu dibentangkan, dianalisis dan dinilai oleh parlimen untuk memastikan bahawa rundingan TPPA yang dijalankan memihak kepada kedudukan dan kepentingan Malaysia, dan kebimbangan mengenai pelbagai isu dimasukkan dalam pendirian dan dibincangkan dalam rundingan TPPA.

Akhirnya satu referendum popular dilakukan untuk menentukan sejauh mana rakyat Malaysia menyokong kerajaan mereka untuk menandatangani dan meratifikasikan TPPA.

Kami menuntut supaya kerajaan mengamalkan pendirian telus dalam hal ini dan semua kebimbangan pelbagai pihak berkepentingan dalam kalangan rakyat Malaysia dipertimbangkan dalam pusingan rundingan.

Jika tidak, tarik diri daripada rundingan TPPA secara berhemah. Garis panduan tentang faedah-faedah perjanjian FTA yang hanya teori-teori buku teks tidak mencukupi; TPPA mungkin kelihatan seperti perjanjian FTA di atas kertas, tetapi hakikat pelaksanaannya menunjukkan impak lebih besar kepada kedaulatan negara.

Perhatian dan empati diperlukan daripada masyarakat sivil, ahli akademik, pakar dan pengamal industri malah orang awam yang prihatin terhadap masa depan Malaysia mesti mencari maklumat, cuba memahami, bersuara dan menulis bagi menyumbang kepada usaha kita untuk menuntut yang terbaik daripada rundingan.

Jika tidak, lebih baik ucapkan selamat tinggal kepada Amerika dan cabut lari sebelum terlambat.

BAHAGIAN 1: TPPA: Apa yang berubah lepas 5 tahun?


ANAS ALAM FAIZLI profesional dalam industri minyak dan gas. Beliau sedang menyambung pengajian peringkat kedoktoran, pengasas bersama BLINDSPOT dan BANTAH TPPA, tweet di @aafaizli. Artikel ini bahagian akhir daripada 2 bahagian.

ADS