Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Menteri: Harga minyak masih kelapan terendah di dunia

Harga minyak di Malaysia masih kelapan terendah di dunia dengan jumlah subsidi bahan api yang ditanggung kerajaan pada tahun ini berjumlah RM23.7 bilion.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan berkata walaupun harga minyak RON 95 and diesel naik 20 sen mulai tengah malam semalam, harga minyak bahan api negara ini masih rendah berbanding negara jiran lain.

Beliau berkata rakyat harus faham tindakan pemotongan subsidi ini merupakan satu daripada langkah kerajaan untuk memberi faedah ekonomi negara bagi jangka masa panjang.

"Bantuan subsidi seharusnya disalurkan kepada yang benar-benar memerlukan dan melalui pemotongan subsidi ini kerajaan kemudian menyalurkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) untuk rakyat yang berpendapatan rendah," katanya kepada Bernama selepas merasmikan Majlis Kem Cerdik Cukai anjur secara bersama oleh Akademi Percukaian Malaysia, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Kementerian Pendidikan di Bangi hari ini.

Selepas pemotongan subsidi bahan api sebanyak 20 sen untuk RON 95 dan diesel bermula tengah malam semalam, bahan api itu masing-masing berharga RM2.10 dan RM2.00.

Buat masa ini, harga RON 95 dan diesel di Thailand masing-masing adalah RM4.74 dan RM3.06, manakala Singapura (RM5.56 dan RM4.32), Indonesia (RM3.05 dan RM3.43) dan Filipina (RM5.44 dan RM4.32).

Di JOHOR BAHARU, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menubuhkan satu pasukan khas serta-merta bagi mengkaji kesan kenaikan harga minyak diesel kepada golongan nelayan.

Menteri berkenaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pasukan itu akan disertai Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) dan diketuai Jabatan Perikanan Malaysia.

"Kita akan buat kajian untuk melihat kesan peningkatan kos diesel ini kepada nelayan sebelum membuat tindakan sama ada meminta bantuan tambahan daripada kerajaan untuk membantu golongan nelayan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Nekmat kali ke-28 di sini malam tadi.

Dalam ucapannya, beliau berkata golongan nelayan seharusnya bersyukur kerana kerajaan sentiasa memastikan kenaikan harga minyak RON 95 dan diesel tidak membebankan mereka.

"BR1M yang diberikan kerajan kepada golongan yang berpendapatan bawah RM3,000 turut diterima nelayan selain bantuan sara hidup sebanyak RM200 kepada nelayan nelayan sepenuh masa.

"Malah selain itu, pelbagai insentif lain turut diberikan seperti insentif pendaratan ikan yang telah banyak membantu nelayan di negara ini hidup jauh lebih baik daripada nelayan-nelayan di negara jiran," katanya.

Beliau berkata kenaikan harga minyak tidak dapat dielakkan berikutan kenaikan harga minyak pasaran dunia ditambah lagi dengan pergolakan yang berlaku di negara pengeluar minyak dunia seperti Mesir.

Sementara itu di Kuching, Menteri Kewangan Kedua Sarawak Datuk Seri Wong Soon Koh berkata kerajaan boleh meneruskan polisi populis dengan tidak menaikkan harga minyak namun langkah itu tidak menguntungkan negara secara keseluruhan.

Beliau berkata pelarasan harga minyak perlu dilakukan dari semasa ke semasa kerana jumlah subsidi yang terpaksa ditanggung kerajaan semakin meningkat.

Di Kuala Lumpur, Presiden MCA Datuk Seri Chua Soi Lek berharap rakyat memahami pemotongan subsidi adalah sebahagian daripada proses rasionalisasi bagi membantu menstabilkan ekonomi negara.

"Mekanisme subsidi ketika ini memanfaatkan semua orang tanpa mengira latar belakang yang menggagalkan hasrat kerajaan untuk membantu mereka yang benar-benar memerlukannya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, MCA menyambut baik keputusan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menaikkan jumlah Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), yang akan diumum dalam Belanjawan 2014.

MCA turut menjangka lebih ramai menggunakan pengangkutan awam berikutan kenaikan harga minyak.

Sehubungan itu, Chua berkata kerajaan perlu mempercepat penambahbaikan sistem pengangkutan awam dan memastikan tidak berlaku sebarang penangguhan dalam  projek MRT.

"Kami turut menggesa pembangkang agar berhenti mempolitikkan isu ini serta menanam kebencian terhadap BN," katanya.

- Bernama

ADS