Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
JMM mahu ke rumah Anwar minta tandatangan
Diterbitkan:  Sep 12, 2013 2:26 PM
Dikemaskini: 6:31 AM

Pengerusi Jaringan Melayu Malaysia (JMM) Azwanddin Hamzah berkata NGO itu akan mengunjungi rumah Datuk Seri Anwar untuk mendesak agar ketua umum PKR itu membenarkan Bank Negara mendedahkan maklumat akaun bank ketua pembangkang itu.

Azwanddin dalam satu laporan Utusan Malaysia berkata NGO berkenaan akan mengunjungi rumah Anwar esok bagi mendapatkan tandatangan Anwar berhubung maklumat akaun bank Anwar itu.

Maklumat bank tersebut adalah berhubung dakwaan oleh bekas calon BN untuk kawasan parlimen Permatang Pauh, Mazlan Ismail bahawa pengerusi DAP Karpal Singh menerima bayaran guaman RM50 juta dari Anwar untuk merasuah hakim.

Azwanddin berkata, usaha tersebut akan terus dilakukan di setiap lokasi yang dihadiri ketua pembangkang itu sekiranya gagal mendapatkan tandatangan Anwar esok.

"Kami akan ke mana sahaja yang dihadiri Anwar termasuk di Parlimen, ceramah-ceramah, di rumah malah sehingga Amerika Syarikat sekalipun sehingga beliau sanggup menandatangani surat itu.

"Saya bersedia menjadi despatch (budak penghantar surat) kepada Anwar kerana dangan cara ini sahaja dapat memastikan beliau menandatangani surat kebenaran itu selepas banyak desakan sebelum ini tidak menampakkan hasil," katanya seperti dilapor dalam akhbar itu.

Anwar pada awal bulan lalu membuat laporan polis terhadap dakwaan Mazlan bahawa beliau merasuah hakim dan timbalan pendakwaraya.

Turut membuat laporan, pengerusi DAP Karpal Singh – yang turut dituduh menerima bayaran guaman RM50 juta daripada Anwar, seperti didakwa Mazlan.

Laporan Utusan hari ini menyebut, JMM telah menyediakan surat rasmi kepada gabenor BNM Tan Sri Zeti Akhtar Aziz untuk membenarkan maklumat akaun itu didedahkan kepada media yang kini hanya memerlukan tandatangan Anwar.

ADS