Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Raja mahu siswa jayakan tranformasi k'jaan
Diterbitkan:  Sep 18, 2013 9:57 AM
Dikemaskini: 2:02 AM

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mahu golongan mahasiswa sentiasa seiringan menjayakan program transformasi kerajaan.

Baginda bertitah idea intelektual yang dicetuskan mahasiswa mampu membantu mencorak negara ke arah yang lebih membanggakan di masa hadapan.

Bertitah merasmikan Festival Konvokesyen ke-8 Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) serta sambutan Hari Malaysia peringkat universiti itu di Kangar malam tadi, baginda berharap golongan mahasiswa perlu lebih aktif menyumbangkan pelbagai idea bernas serta inovasi baharu ke arah pembangunan negara, bangsa dan agama.

Tuanku Syed Faizuddin yang juga Canselor UniMAP bertitah mahasiswa juga sentiasa berhadapan dengan cabaran di luar jangkaan dan ia tidak seharusnya menjadi penghalang untuk maju ke hadapan.

"Jadikanlah cabaran itu sebagai satu semangat untuk kita terus berusaha dengan lebih gigih, melakukan yang terbaik terhadap diri serta masyarakat," titah baginda.

Raja Muda Perlis turut mahukan golongan mahasiswa peka terhadap isu semasa yang melibatkan kepentingan mereka dan masyarakat luar kampus.

"Anda perlu berfikir dan tahu bagaimana cara untuk menyuarakan pandangan secara rasional, berhemah dan bertanggungjawab," titah baginda.

Turut berangkat ke majlis itu ialah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang juga Pro Canselor UniMAP.

Hadir sama ialah Naib Canselor UniMAP Prof Datuk Dr Kamarudin Hussin.

Festival konvokesyen bertemakan 'Bersama Memacu Transformasi' yang akan berlangsung sehingga 22 Sept ini berlangsung di Dataran Datuk Sheikh Ahmad di Kangar.

- Bernama

ADS