Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ANALISIS Belum habis penat berkempen pilihan raya kecil DUN Sungai Limau, perhatian semua pihak khususnya penyokong PAS kini bertumpu pada pemilihan jawatankuasa parti pada 21 November depan.

Tentunya, pemerhati politik semakin galak mengintai peluang ayam sabung PAS Mohamad Sabu sama ada boleh mempertahankan jawatan timbalan presiden yang disandangnya sejak dua tahun lalu.

NONESebelum ini wujud desas-desus usaha menyingkirkan Mohamad, namun kemudiannya perkara itu dinafikan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri.

Ia ekoran 'lobi' kumpulan proagamawan yang kuat dalam PAS, terutamanya Dewan Ulama, yang mahukan agar jawatan tertinggi dalam parti Islam itu diisi oleh golongan ulama.

Berdasarkan perkembangan semasa, peluang Mohamad - yang telah menyatakan pendirian mempertahankan jawatan itu - dilihat kembali cerah sekalipun berdepan laluan sukar.

Selain beliau, empat lagi tokoh dicalonkan ke peringkat itu, termasuk dua naib presiden - Salahudin Ayub dan Datuk Husam Musa - serta Ketua Penerangan Datuk Tuan Ibrahim Tun Man dan Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Abdullah.

Bagaimanapun, Salahudin dan Husam setakat ini tidak berhasrat mencabar Mohamad, sebaliknya dijangka mempertahankan jawatan disandang. Ia sekali gus, membolehkan Mohamad menarik nafas lega buat masa ini.

pakatan ceramah shah alam 041211 nik azizSebelum ini, kedudukan Mohamad dilihat genting susulan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat - pemimpin parti paling berpengaruh - pada September lalu dengan tidak semena-mena dikatakan memberi isyarat supaya jawatan nombor dua diberikan kepada ulama.

Mujur Nik Aziz (kiri) beberapa hari kemudian menafikannya.

Walaupun sentimen proulama itu tidak mungkin padam dalam sehari dua, tetapi tindakan Tuan Ibrahim dan Mohd Amar yang masih gagal memberikan kata putus untuk berentap, menyalakan semula obor harapan Mohamad yang hampir padam.

Trend pemilihan sejak dua penggal terakhir menunjukkan pemimpin yang mengisytiharkan hasratnya di saat-saat akhir pasti berdepan laluan sukar. Ini berlaku apabila mereka dilihat oportunis dan menangguk di air yang keruh.

Husam sebelum ini nyaris-nyaris menjadi mangsa percaturan politiknya sendiri apabila "berpuasa" hingga ke saat-saat akhir sebelum tempoh penerimaan pencalonan ditutup.

Tuan Ibrahim teragak-agak

Sementara itu, sikap "teragak-agak" Tuan Ibrahim dikatakan meresahkan kumpulan ulama sehingga mendorong Mohd Amar dicalonkan sebagai "calon simpanan" jika bekas penceramah Forum Perdana Ehwal Islam itu memilih tidak berentap.

Menjelang 8 November (Jumaat) ini, jika tiada sebarang kompromi dibuat, walaupun apa pun kesudahannya, kelebihan pastinya memihak kepada Mohamad.

Pada pemilihan lalu, Mohamad menang dengan 420 undi, Tuan Ibrahim (399) dan bekas timbalan presiden Nasharudin Mat Isa (224). Kemenangan menyebelahi Mohamad ekoran perpecahan undi golongan ulama.

NONESementara itu, jika kompromi menjadi kenyataan pula, Mohamad kemungkinan besar akan berdepan satu lawan satu dengan Nik Amar.

Dalam situasi itu kelebihan dilihat menyebelahi Mohamad apabila beliau dijangka memperoleh sokongan penyokong Husam dan Tuan Ibrahim (kiri) ekoran doktrin 'kesetiaan' kepada pemimpin dalam PAS.

Walaupun jumlah pencalonan bukan indikator jelas, difahamkam Tuan Ibrahim dan Husam mendapat pencalonan tertinggi daripada kawasan untuk bertanding jawatan timbalan presiden. PAS menetapkan minimum dua pencalonan untuk berbanding sesuatu jawatan.

Simpati isu Syiah

Sumber-sumber yang dekat dengan PAS memberitahu Malaysiakini, besar kemungkinan Tuan Ibrahim akan 'beralih arah' merebut jawatan naib presiden - kerusi yang hampir pasti boleh dimenanginya.

Tiga naib presiden sedia ada - Husam, Salahuddin dan Datuk Mahfuz Omar - dijangka mempertahankan jawatan masing-masing.

Tuan Ibrahim, menurut sumber lagi, keberatan menentang Mohamad ekoran rasa simpatinya terhadap bekas tahanan ISA dan penceramah popular itu yang sering dikaitkan dengan fahaman Syiah setiap kali musim pemilihan.

Mohamad sudah berkali-kali menafikan cakap-cakap yang turut beredar di peringkat akar umbi parti Islam itu.

NONE"Beliau (Tuan Ibrahim) juga kecewa dengan apabila tohmahan itu berulang setiap kali pemilihan. Tak ada bukti. Beliau ada (lagi) rasa hormat kepada Mat Sabu," kata sumber yang baru bertemu dengan Tuan Ibrahim beberapa hari lalu.

Dalam pertemuan itu, menurut sumber, Tuan Ibrahim masih mencongak dan mempertimbangkan pencalonan yang diterimanya.

Sementara itu, keadaan juga tidak menyebelahi Mohd Amar yang perlu menumpukan perhatian kepada pentadbiran Kelantan selepas era Nik Aziz bukan lagi menteri besarnya.

Cabaran yang digalasnya mempertahankan negeri Cik Siti Wan Kembang itu pastinya bukan alang kepalang. Malah, Mohd Amar tidak boleh mengambil risiko bermain di peringkat atasan kerana masih belum teruji.

Malahan ada juga suara-suara yang mempersoalkan kewajaran Mohd Amar secara mendadak menyatakan kesediaan bertanding jawatan kedua tertinggi dalam parti memandangkan beliau kini sekadar anggota jawatankuasa Pusat.

Enggan jadi 'budak jahat'

Sementara itu, sumber-sumber yang dekat Husam pula berkata bekas exco Kelantan itu kini cenderung mempertahankan jawatan naib presiden dan penyokongnya pula dikatakan sedia memberi sokongan kepada Mohamad.

NONEHusam (kanan) dijangka membuat keputusan rasmi dalam sehari dua ini selepas beliau pulang daripada urusan di luar negara.

Sumber-sumber juga tidak menolak kemungkinan akan berlakunya kompromi antara kedua-dua pemimpin bukan ulama itu.

Jawatan timbalan presiden kelihatan seperti bukan pilihan buat Husam apabila penyertaannya hanya akan merumitkan keadaan. Malah, beliau pasti dilihat menjadi 'budak jahat' selepas secara terbuka berkata tiada sebab untuk menentang "Abang Mat" sebelum ini.

Daripada aspek ketokohan, sekalipun bukan ulama, umum melihat kepada kemampuan Mohamad bergandingan dalam Pakatan Rakyat, kewibawaan luar biasanya di pentas ceramah dan pengorbanannya yang sentiasa turun naik mahkamah demi parti tidak boleh dinafikan.

ADS