Bongkar Deutsche Bank: 15 juta fail bocor, dedah rahsia VVIP, skandal dan pilih kasih
LAPORAN KHAS | Lebih 15 juta fail dalaman. E-mel daripada eksekutif kanan. Penilaian risiko yang dirahsiakan. Laporan urus niaga mencurigakan. Maklumat peribadi golongan bilionair, hartawan berpengaruh dalam politik, ahli politik dan kerabat diraja. Rekod membabitkan Donald Trump, Jeffrey Epstein dan ahli perniagaan yang dikenakan sekatan. Syarikat yang dikaitkan dengan rejim kuku besi dan sebelum ini tidak pernah didedahkan kepada umum.
Kesemua bahan itu membentuk himpunan dokumen dalaman terbesar yang pernah dibocorkan dari dalam sebuah bank kepada wartawan.
Selama berbulan-bulan, lebih 200 wartawan dari seluruh dunia meneliti himpunan besar dokumen itu dalam siasatan yang dinamakan Inside Deutsche Bank. Rekod itu merangkumi beberapa fungsi dan aktiviti paling sensitif bank berkenaan: usaha membanteras jenayah kewangan, pemantauan sekatan, audit dalaman serta unit yang menentukan sama ada hubungan dengan pelanggan berisiko patut diteruskan atau ditamatkan.
Ketika Christian Sewing menjadi ketua pegawai eksekutif Deutsche Bank pada 2018, selepas reputasi bank itu dicemari rentetan skandal, dia berjanji institusi berkenaan akan berubah: lebih stabil dan “sedikit tambah membosankan (tanpa kontroversi).”
/file/attachments/890/IlustrasikebocoranfailDeutscheBank18Nov2026243am_221539.png)
Sejak itu, bank berkenaan cuba meyakinkan dunia selama bertahun-tahun bahawa zaman skandalnya sudah berakhir. Projek Inside Deutsche Bank mencabar gambaran itu dengan mendedahkan keadaan sebenar sebuah bank yang membina sistem pematuhan peraturan yang begitu besar, tetapi berulang kali menghadapi kesukaran memastikan sistem itu berfungsi.
Dokumen yang dibocorkan menerusi dua pemberi maklumat itu dikongsi dengan wartawan India Josy Joseph dan wartawan Afrika Selatan Khadija Sharife. Barracuda Media, sebuah badan bukan berasaskan keuntungan, ditubuhkan untuk menganalisis data itu dan berkongsinya dengan wartawan daripada lebih 50 organisasi media antarabangsa di lebih 50 negara.
Kedua-dua pemberi maklumat itu, yang identiti mereka dilindungi, menyalin fail berkenaan dan membawanya keluar dari bank tersebut. Selain menyerahkannya kepada Joseph dan Sharife, mereka turut memberikan bahan berkenaan kepada Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (AS), Rangkaian Penguatkuasaan Jenayah Kewangan AS serta Jabatan Hasil dan Kastam Diraja United Kingdom, menurut pengesahan peguam mereka.
Jelas, kedua-dua pemberi maklumat itu mahu mendedahkan hubungan Deutsche Bank dengan hartawan Rusia yang berpengaruh dalam politik serta wang dari negara itu.
“Kami sangat komited untuk berkhidmat demi kepentingan awam,” kata mereka dalam satu kenyataan. Mereka berkata orang ramai berhak mengetahui salah laku bank itu serta perkhidmatan perbankan meluas yang diberikannya kepada golongan hartawan berpengaruh dalam politik. Menurut seorang daripada pemberi maklumat itu, mereka percaya fail berkenaan mengandungi maklumat tentang kemungkinan salah laku jenayah berkaitan hubungan perniagaan dengan rejim yang mengamalkan rasuah.
Fail berkenaan menunjukkan Deutsche Bank berulang kali gagal mengesan tanda amaran kemungkinan pengubahan wang haram dan pelanggaran sekatan. Bank itu melonggarkan peraturannya sendiri untuk pelanggan yang berkuasa. Ia membenarkan kepentingan perniagaan mengatasi keperluan mematuhi peraturannya sendiri. Kadangkala, bank itu hanya menemui kegagalan serius bertahun-tahun selepas wang mencurigakan itu melepasi sistemnya.
Fail berkenaan turut mendedahkan butiran kewangan yang sangat peribadi milik individu yang amat berkuasa.
Deutsche Bank menerima Epstein sebagai pelanggan pada 2013, bertahun-tahun selepas dia disabitkan atas kesalahan mendapatkan individu bawah umur untuk khidmat seks. Dokumen yang bocor menunjukkan bank itu kemudian mengenal pasti urus niaga mencurigakan bernilai hampir AS$600 juta yang membabitkan Epstein dan rangkaiannya — lebih dua kali ganda jumlah yang sebelum ini diketahui umum.
/file/attachments/890/Trumpbankingrecordseditorialcollage18Nov2026251am_151476.png)
Selain Trump dan Epstein, yang diketahui ramai menggunakan Deutsche Bank selepas institusi lain enggan berurusan dengan mereka, dokumen yang bocor itu turut mengandungi maklumat terperinci tentang hartawan berpengaruh yang bersekutu dengan Vladimir Putin, seperti Oleg Deripaska dan Roman Abramovich.
Antara pelanggan Deutsche Bank termasuk sebuah syarikat yang pemilik sebenarnya seorang ahli perniagaan Arab Saudi yang namanya tercatat dalam senarai terkenal “Golden Chain”, yang menyenaraikan pihak yang didakwa menaja Al-Qaeda. Sebagai bank perantara bagi pihak ketiga, Deutsche Bank turut membantu memproses bayaran yang dikaitkan dengan Rifaat al-Assad yang telah meninggal dunia. Dia bekas naib presiden Syria yang dikenali sebagai “Penyembelih Hama” kerana peranannya dalam tindakan keras berdarah di bandar Syria itu pada 1982.
Pada 2015, meskipun semakin banyak laporan negatif media serta laporan aktiviti mencurigakan (SAR) yang dikemukakan bank itu sendiri berkaitan Jho Low, Deutsche Bank terus memproses pemindahan wang bernilai jutaan dolar yang dikaitkan dengan ahli kewangan Malaysia itu.
Low merupakan watak utama dalam skandal 1MDB, yang membabitkan lebih AS$4.5 bilion yang didakwa dicuri daripada dana pelaburan negara Malaysia dan dicuci melalui bank di seluruh dunia. Entiti Deutsche Bank di Malaysia, Deutsche Bank (Malaysia) Berhad, kini disaman 1MDB atas dakwaan memainkan peranan dalam memindahkan sebahagian dana tersebut.
Berhubung bayaran yang dikaitkan dengan al-Assad, Deutsche Bank berkata:
“Perkara ini sudah diselesaikan pada 2022, seperti yang didedahkan kepada umum. Dalam prosiding siasatan pejabat pendakwa raya di Frankfurt berhubung dua laporan aktiviti mencurigakan (SAR) yang dikemukakan Deutsche Bank dalam urusan perbankan perantara, bank itu menerima denda €7.01 juta. Notis penalti pentadbiran itu mengandungi dakwaan laporan SAR tersebut dikemukakan terlalu lewat kerana laporan itu sepatutnya sudah dikemukakan pada 2017. Bank memberikan kerjasama dalam prosiding tersebut.”
Deutsche Bank tidak menjawab soalan mengenai individu dalam senarai Golden Chain itu. Individu tersebut, yang hanya dikenal pasti melalui singkatan namanya dalam fail bank, berjaya dikenal pasti oleh wartawan tetapi tidak menjawab permintaan untuk mengulas.
Deripaska tidak menjawab permintaan untuk mengulas. Trump juga tidak menjawab permintaan untuk mengulas. Low tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan ulasan.
Sebuah firma guaman yang mewakili Abramovich memberitahu wartawan, “bukan tanggungjawab anak guam kami untuk mengulas proses dan keputusan dalaman Deutsche Bank.”
“Sekiranya proses dalaman itu merekodkan spekulasi tidak berasas mengenai anak guam kami, dia menolak spekulasi tersebut,” tambah firma itu. “Dia menafikan sebarang dakwaan atau bayangan salah laku, termasuk sebarang dakwaan perbuatan jenayah, rasuah atau perbuatan tidak wajar.”
Bank itu berkata: “Kami tidak mengulas hubungan dengan bakal pelanggan, bekas pelanggan atau pelanggan sedia ada.”
/file/attachments/890/Trumpbankingrecordseditorialcollage18Nov2026302am_473222.png)
Mengenai Epstein, bank itu berkata pihaknya “mengakui kesilapan menerima Epstein sebagai pelanggan pada 2013 dan kesal atas hubungan kami dengannya pada masa lalu. Kami telah memberikan kerjasama kepada agensi kawal selia, agensi penguatkuasaan undang-undang dan Kongres AS berhubung siasatan mereka serta pada masa sama bersikap telus dalam menangani perkara ini.”
Ketika menjawab pelbagai isu yang dibangkitkan menerusi kebocoran itu, Deutsche Bank berkata perkara yang dibangkitkan wartawan “berlaku bertahun-tahun lalu, dalam sesetengah kes berdekad-dekad lalu.” Menurut bank itu, perkara berkenaan sudah diteliti ketika itu dan, jika berkaitan, telah dibincangkan dengan badan kawal selia serta pihak berkuasa berkenaan mengikut keperluan.
“Kami bank yang berbeza hari ini,” tambah bank itu. “Di bawah kepimpinan Christian Sewing, Deutsche Bank telah melalui perubahan menyeluruh.”
Bank itu berkata pihaknya telah melaburkan sejumlah tujuh bilion euro untuk memperkukuh kawalan dalamannya antara 2019 hingga 2025, disokong pelaburan besar dalam teknologi.
“Pelaburan ini disertai pendekatan yang diperkukuh untuk mengenal pasti dan mengurus risiko serta perubahan asas dalam budaya kerja. Usaha ini membantu menyelesaikan masalah lama dan mencapai beberapa tahap penting dalam memenuhi keperluan pengawal selia.”
“Kemajuan kami telah diiktiraf oleh pasaran, badan kawal selia utama dan pihak berkuasa penyeliaan, serta pelanggan dan pihak berkepentingan lain. Kami kekal komited untuk terus memperkukuh kawalan dalaman serta budaya integriti.”
Rahsia
Dalam beberapa minggu akan datang, rakan media projek Inside Deutsche Bank akan menerbitkan banyak lagi laporan berdasarkan fail berkenaan. Fail itu menyimpan rahsia yang sepatutnya dilindungi sebuah bank besar dunia jika tidak mahu kehilangan kepercayaan pelanggannya. Kini, rahsia itu sudah terbongkar.
Deutsche Bank telah membayar lebih 20 bilion euro dalam bentuk denda dan penyelesaian sejak tahun 2000 berhubung kegagalan yang dikenal pasti berkaitan sekuriti gadai janji, manipulasi kadar faedah, urus niaga “cermin” Rusia (helah urus niaga untuk memindahkan wang keluar dari Rusia), kelemahan pencegahan pengubahan wang haram serta salah laku lain. Pada suatu ketika, reputasinya begitu buruk sehingga, menurut satu nota dalaman, pewaris BMW yang juga bilionair, Susanne Klatten menolak undangan bank itu dengan memberikan alasan reputasi buruknya. Klatten menafikan pernah menolak undangan sedemikian daripada bank itu atau pernah menggunakan ungkapan tersebut untuk menggambarkan bank berkenaan.
Kini, siasatan Inside Deutsche Bank menimbulkan persoalan sama ada satu daripada institusi kewangan terbesar dunia — yang dianggap “terlalu besar untuk dibiarkan gagal” selepas krisis kewangan 2008 — sudah terlalu rosak untuk memulihkan dirinya sendiri. Bank itu beroperasi secara langsung di kira-kira 55 negara, manakala rangkaian perbankan perantaranya menjangkau lebih 140 negara.
Walaupun bank itu memberitahu wartawan pihaknya kini “bank yang berbeza”, fail yang bocor menunjukkan bank itu sama sekali belum menjadi “membosankan” (tanpa kontroversi) sejak Sewing mengambil alih kepimpinannya.
Dalam satu kes yang belum pernah didedahkan kepada umum, dokumen yang bocor menunjukkan kakitangan pada 2019 menemui sesuatu yang mereka percaya merupakan rangkaian besar pengubahan wang haram. Rangkaian itu telah memindahkan ratusan juta euro menggunakan sistem bank tersebut melalui syarikat di Cyprus, Britain, Hong Kong dan Ukraine.
Sistem pemantauan bank itu mengesan sebahagian petunjuk, tetapi gagal melihat gambaran keseluruhannya. Kira-kira tiga tahun berlalu sebelum seorang kakitangan menyedari corak urus niaga tersebut, sehingga seorang pengurus berseloroh bank itu telah menemui seorang lagi “pekerja terbaik bulanan”. Tidak lama kemudian, pengurus itu membuat pemerhatian yang lebih penting: “Sistem kami jelas gagal mengesannya.”
Dalam jawapannya, bank itu berkata pihaknya “memandang amat serius kewajipannya membanteras jenayah kewangan dan mematuhi sekatan.” Bank itu berkata pihaknya “meneliti aktiviti yang mungkin luar biasa, melaporkan perkara berkenaan kepada pihak berkuasa berkaitan apabila diwajibkan, serta memberikan kerjasama terhadap permintaan maklumat yang sah di sisi undang-undang.”
Di Colombia, siasatan dalaman bank itu sendiri, yang dinamakan Projek Cali, menunjukkan pihaknya telah memproses ribuan urus niaga untuk syarikat yang dikaitkan dengan perniagaan hiburan dewasa pada 2019. Wang itu dihantar kepada wanita di Colombia melalui saluran mencurigakan, tanpa bank berkenaan melaporkan kebanyakan urus niaga tersebut kepada pihak berkuasa.
/file/attachments/890/Trumpbankingrecordseditorialcollage18Nov2026254am_806964.png)
Siasatan dalaman itu menandakan sekurang-kurangnya lapan syarikat di bawah kategori “pengubahan wang haram” dan satu lagi “jenayah terancang”. Apabila bank itu akhirnya mengesan tanda amaran yang terlepas daripada perhatiannya sepanjang 2019, pihaknya mengemukakan 230 laporan aktiviti mencurigakan (SAR) dan melarang semua bayaran daripada syarikat terbabit. Ketika itu, urus niaga bernilai jutaan sudah pun diproses.
Dalam jawapannya mengenai Projek Cali, Deutsche Bank berkata projek itu merupakan “semakan terhadap urusan lalu yang membawa kepada langkah pembetulan khusus serta penilaian semula yang lebih menyeluruh terhadap risiko jenayah kewangan dalam keseluruhan urusan perbankan perantara Deutsche Bank.”
“Keputusan untuk melaporkan aktiviti mencurigakan tertakluk kepada keperluan undang-undang dan kerahsiaan mengikut bidang kuasa masing-masing. Oleh itu, kami tidak dapat mengulas laporan, urus niaga, entiti atau pihak yang berurus niaga secara khusus.”
Wartawan turut mendapati, mulai 2015, Deutsche Bank memudahkan urus niaga bernilai ratusan juta dolar yang membabitkan kumpulan Xangbo, yang berpangkalan di Singapura, tanpa mengesan atau mengambil tindakan terhadap tanda amaran aktiviti mencurigakan.
Ini termasuk urus niaga melalui cawangan Deutsche Bank di Singapura antara syarikat kumpulan Xangbo yang menjadi pelanggan bank itu dengan tiga syarikat yang dituduh mencuci wang yang didakwa merupakan bayaran sogokan untuk adik-beradik Gupta. Adik-beradik itu dikaitkan dengan rasuah besar-besaran serta penguasaan institusi negara oleh kepentingan tertentu di Afrika Selatan.
Syarikat yang dikaitkan dengan Gupta dibenarkan memindahkan kira-kira AS$675 juta melalui rangkaian Xangbo antara Disember 2012 hingga Januari 2017. Pemindahan itu berterusan meskipin protes awam tercetus di Afrika Selatan berhubung skandal yang membabitkan adik-beradik berkenaan. Daripada jumlah itu, 30 pasang urus niaga bernilai keseluruhan AS$167 juta dilakukan melalui beberapa akaun, sering kali dalam tempoh sehari.
Hanya selepas seorang pemberi maklumat dari luar bank membuat dakwaan pada Disember 2019 mengenai aktiviti lain yang tidak berkaitan dan didakwa berunsur penipuan di Singapura serta tempat lain, barulah Deutsche Bank meneliti urus niaga Xangbo dengan lebih mendalam. Namun begitu, rekod menunjukkan bank itu hanya memulakan proses menamatkan hubungannya dengan Xangbo pada 2021. Rekod turut menunjukkan bank itu memutuskan “tiada alasan munasabah” untuk mengemukakan laporan mengenai satu siri urus niaga rumit yang membabitkan Xangbo.
Dalam jawapannya, Xangbo memberitahu wartawan akaunnya di bank itu tidak ditutup kerana sebarang urusan kumpulan tersebut dengan syarikat yang dikaitkan dengan Gupta. “Itu sama sekali tidak benar,” kata seorang jurucakap, sambil menambah Deutsche Bank “terus menjadi broker utama kami sehingga 2022.”
Gupta bersaudara tidak menjawab permintaan untuk mendapatkan maklum balas. Mereka sebelum ini berkata dakwaan terhadap mereka bermotifkan politik.
Dalam jawapannya, Deutsche Bank berkata dapatan wartawan mengenai urusannya dengan Xangbo mengandungi “beberapa ketidaktepatan”. Bank itu berkata pihaknya tidak akan mengulas hubungan dengan bakal pelanggan, bekas pelanggan atau pelanggan sedia ada, mahupun “laporan aktiviti mencurigakan yang telah atau mungkin dikemukakan”.
Sementara itu, wartawan mendapati urus niaga yang membabitkan syarikat yang disyaki menjadi proksi Korea Utara tidak dikesan walaupun sesetengah maklumat bayaran mengandungi perkataan “Korea Utara”.
“Dasar Deutsche Bank mengehadkan urusan dengan Korea Utara dan kami berhubung dengan pihak penguatkuasaan undang-undang serta badan kawal selia kami mengikut keperluan,” kata bank itu kepada wartawan.
Ruang untuk bergerak
Ada kalanya, wartawan mendapati masalahnya bukan kelemahan kecekapan — tetapi keghairahan bank memburu perniagaan.
Dalam satu e-mel yang bocor, Sewing yang ketika itu anggota lembaga pengurusan, mengeluh tentang peraturan kenali pelanggan anda atau KYC yang menjejaskan keuntungan. Peraturan itu menetapkan syarat asas supaya bank memahami siapa pelanggan mereka dan dari mana datangnya wang pelanggan. “KYC bricht uns das revenue Genick,” tulisnya yang bermaksud: “KYC melumpuhkan pendapatan kita.”
Dalam jawapannya, bank itu menolak keras apa yang disifatkannya sebagai “tuduhan tersirat yang tidak benar” mengenai “sikap yang didakwa” ada pada Sewing.
Bank itu menambah: “Christian Sewing sentiasa menekankan supaya kawalan dan pengurusan risiko dipandang serius serta dijadikan batas bagi kegiatan perniagaan. Tumpuannya pada kawalan yang kukuh dan pengurusan risiko berasaskan pengalaman kerjayanya dalam ketiga-tiga barisan pertahanan, dengan sebahagian besar masanya dihabiskan dalam fungsi kawalan.”
Bahan yang bocor itu memperlihatkan ketegangan yang berulang: Mereka yang ditugaskan mengawal risiko berulang kali berdepan dengan mereka yang dibayar untuk menjana pendapatan. Dalam pertembungan ini, pelanggan berpengaruh sering mempunyai ruang untuk bergerak.
Ambil contoh Timur Kulibayev, bilionair yang juga menantu bekas presiden Kazakhstan. Fail menunjukkan bank itu mengakui “kebimbangan sejak dahulu tentang kesahihan sumber asal kekayaan (Kulibayev).”
Dokumen dalaman yang mengenal pasti Kulibayev sebagai “pelanggan” bank itu sejak 2006 turut menyatakan analisis risiko terhadapnya yang ditempah bank pada 2013 telah “mengetengahkan beberapa dakwaan rasuah” sejak awal 2000-an.
Jabatan pencegahan jenayah kewangan bank itu mencatatkan Kulibayev tidak pernah disabitkan atas kesalahan rasuah, dan sebuah syarikatnya telah mengemukakan bukti yang menunjukkan siasatan jenayah terhadapnya di Eropah sudah digugurkan.
Rekod menunjukkan beberapa minggu kemudian, kakitangan memulakan proses membuka akaun Deutsche Bank di Luxembourg atas nama isterinya. Hanya beberapa bulan selepas itu barulah bank berkenaan membincangkan kemungkinan menamatkan hubungan yang sudah lama terjalin tersebut.
Kulibayev, melalui firma guamannya, menafikan sebarang salah laku. Firma itu berkata bank berkenaan sudah dimaklumkan mengenai sumber pendapatannya, yang sebahagian besarnya diperoleh daripada pemilikan bersama isterinya dalam firma pelaburan Almex serta pegangan saham firma itu dalam Halyk Bank di Kazakhstan.
Kenyataan itu menambah: “Oleh itu, sebarang gambaran yang diberikan bahawa Encik Kulibayev (atau individu yang bekerja untuknya) menyembunyikan sumber kekayaannya daripada Deutsche Bank, atau dengan sengaja memberikan maklumat palsu atau mengelirukan mengenainya, sama sekali tidak benar.”
Firma guaman itu berkata Kulibayev tidak dapat mengenal pasti urus niaga AS$15 juta tersebut berdasarkan maklumat yang diberikan. Firma itu menambah, sebarang gambaran yang diberikan bahawa Kulibayev menggunakan perkhidmatan Deutsche Bank atas kapasiti peribadi pada pertengahan 2000-an tidak benar, dan dia “hanya membuka akaun peribadi bertahun-tahun kemudian”. Menurut firma itu, wartawan kelihatan “mencampuradukkan hubungan perbankan peribadi dan korporat yang berasingan antara Encik Kulibayev serta perniagaannya dengan bank itu”.
Deutsche Bank berkata pihaknya “tidak mengulas hubungan dengan pelanggan sedia ada, bakal pelanggan atau bekas pelanggan.”
Dalam kes lain, bank itu memilih untuk tidak menjalankan semakan rasmi terhadap risiko berkaitan sekatan bagi anak syarikat Bombardier, syarikat aeroangkasa dan pertahanan Kanada. Ini berlaku meskipun rekod dalaman menyebut Bombardier menjalankan perniagaan di negara yang dilarang berurus niaga dengannya dan dikategorikan sebagai “berisiko khas”. Antara alasan yang diberikan untuk menjalankan semakan “tidak rasmi” sebagai ganti termasuk hubungan lama Deutsche Bank dengan syarikat itu. Turut dinyatakan, hasil pendapatan Bombardier dari negara berisiko tinggi tersebut rendah.
Bombardier tidak menjawab permintaan untuk mengulas.
Dokumen yang bocor turut mendedahkan kelonggaran dalam proses pengambilan pekerja bank itu.
Bank itu mengambil anak ahli politik berpengaruh, eksekutif dan pegawai kerajaan sebagai pekerja, termasuk pemohon yang gagal ujian kebolehan atau tidak mempunyai kelayakan mencukupi. Alexey Storchak, anak timbalan menteri kewangan Rusia, diambil bekerja pada 2010 dan kemudian membekalkan rakan sekerjanya dengan maklumat yang tidak tersedia kepada umum mengenai penerbitan bon. Susulan itu, fail menunjukkan Deutsche Bank sendiri menyiasat sama ada bank itu sepatutnya memiliki maklumat sedemikian.
Pada 2019, bank itu membayar AS$16.1 juta sebagai penyelesaian selepas Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa AS menyiasat program pengambilan pekerjanya. Pengiraan dalaman dalam dokumen yang bocor menunjukkan bank itu memperoleh hasil pendapatan kira-kira AS$190 juta daripada urus niaga yang dikaitkan dengan pengambilan saudara-mara pegawai kerajaan asing sebagai pekerja.
Storchak tidak menjawab permintaan untuk mengulas.
‘Hartawan oligarki berpengaruh yang baik dan buruk’
Rusia serta urusan bank itu dengan negara tersebut antara kebimbangan utama pemberi maklumat ketika mereka menghubungi wartawan untuk berkongsi maklumat.
Selepas Putin mengilhakkan Crimea pada 2014, sekatan Barat memaksa bank menentukan pelanggan Rusia yang masih boleh diterima. “Kami mula membuat senarai,” kata seorang bekas orang dalam Deutsche Bank kepada wartawan. “Oligarki berpengaruh yang baik dan buruk.”
Dokumen yang bocor menunjukkan bank itu berulang kali memudahkan urusan warga Rusia yang dikenakan sekatan atau mempunyai kedudukan atau hubungan politik, dan masih keberatan untuk memutuskan sepenuhnya hubungan lama yang rumit dengan Rusia. Dokumen menunjukkan pada Mei 2020, ketika pemimpin bank merancang untuk memperluas urusan perniagaan tertentu yang berkaitan dengan Rusia, seorang pakar pencegahan jenayah kewangan menyifatkan langkah itu seperti mencampakkan pasukannya ke hadapan kereta api.
Rusia terus menghantui bank itu. Pada awal tahun ini, penyiasat Jerman menggeledah ibu pejabat Deutsche Bank di Frankfurt dalam siasatan membabitkan urus niaga yang dilaporkan mempunyai kaitan dengan hartawan berpengaruh Abramovich.
Dalam jawapannya, peguam yang mewakili Abramovich berkata mereka telah dimaklumkan “pihak berkuasa Jerman mengesahkan kepada anak guam kami bahawa dia tidak disiasat berhubung penggeledahan premis Deutsche Bank oleh Pejabat Polis Jenayah Persekutuan Jerman pada Januari 2026.”
/file/attachments/890/Trumpbankingrecordseditorialcollage18Nov2026300am_896751.png)
“Pihak berkuasa Jerman mahupun Deutsche Bank tidak pernah merujuk kepada anak guam kami (secara langsung atau tidak langsung) dalam sebarang kenyataan awam mengenai penggeledahan itu, atau memberikan petunjuk sebarang dakwaan dibuat terhadapnya.”
Melalui perbankan perantara, saluran di sebalik sistem kewangan global yang tidak kelihatan, Deutsche Bank memindahkan wang bagi pihak bank lain, memberikan bank berkenaan akses kepada euro, dolar dan pasaran antarabangsa. Perniagaan ini menguntungkan tetapi amat sukar dipantau, dan pelanggan asal mungkin dipisahkan daripada Deutsche Bank sendiri oleh beberapa lapisan perantara. Penjenayah, entiti yang dikenakan sekatan dan syarikat cangkerang boleh terselindung dalam jutaan urus niaga yang kelihatan sah.
Bolehkah sesebuah bank mengesan pengubahan wang haram, pengedaran dadah dan penyeludupan manusia dengan pasti dalam sistem sebegitu?
“Tidak,” kata Ulrich Göres, bekas ketua jabatan pencegahan jenayah kewangan Deutsche Bank. Mengapa bank tetap menjalankan urusan itu? “Bagi perkhidmatan perbankan untuk negara berisiko tinggi dan industri berisiko tinggi secara umum, fi lebih tinggi boleh dikenakan.”
Dalam satu daripada skandal terbesarnya setakat ini, Deutsche Bank menjadi bank perantara utama bagi cawangan Danske Bank di Estonia. Kira-kira 200 bilion euro mengalir melalui cawangan Danske Bank di Estonia antara 2007 hingga 2015, dengan sebahagian besar aliran itu membabitkan pelanggan dari Rusia dan negara bekas Kesatuan Soviet yang lain. Deutsche Bank membantu memproses bayaran antarabangsa untuk cawangan tersebut sebagai bank perantara.
Pada 2020, pihak berkuasa Jerman mengenakan denda 13.5 juta euro terhadap bank itu kerana gagal melaporkan urus niaga mencurigakan dengan segera. Hukuman sebegitu kurang berkesan untuk mencegah salah laku, kata Göres, melainkan jumlah penalti melebihi pendapatan yang dijana sebelum itu.
Mengenai perbankan perantara, Deutsche Bank berkata:
“Sepanjang sedekad lalu, Deutsche Bank telah mengurangkan dengan ketara tahap risikonya dalam perniagaan ini, termasuk menamatkan hubungan dengan pelanggan berisiko tinggi dan menghentikan urusan di negara berisiko tinggi. Pada masa sama, bank telah memperkukuh dengan ketara kawalan dan kepakarannya dalam membanteras jenayah kewangan … untuk mengurus risiko jenayah kewangan yang sememangnya tinggi dalam perbankan perantara melalui pelaburan besar.”
Amaran mengenai junta Myanmar
Seperti amalan pengambilan pekerjanya, cita-cita bank itu berkaitan iklim juga terbukti boleh dilenturkan.
Pada 2020, Deutsche Bank berjanji tidak lagi membiayai projek minyak dan gas baru di Artik. Beberapa bulan kemudian, bank itu memproses bayaran euro$1.5 bilion yang berkaitan dengan pelaburan gergasi komoditi Trafigura dalam projek besar Vostok Oil milik Rosneft di Artik. Alasan dalaman yang diberikan: Deutsche Bank sekadar memproses urus niaga bagi pihak Trafigura, bukannya membiayai projek itu sendiri.
Dalam jawapannya, Trafigura, yang menarik diri daripada projek Vostok Oil pada 2022, mengesahkan urus niaga euro$1.5 bilion melalui Deutsche Bank itu berlaku. Deutsche Bank tidak menjawab secara langsung soalan mengenai Trafigura.
Selepas Sewing pada 2021 menyatakan secara terbuka komitmen Deutsche Bank terhadap masa depan dengan pelepasan bersih sifar, pegawai bank itu memburu peluang dalam projek gas dan petrokimia besar di Rusia. Apabila syarikat multinasional bahan kimia industri Linde mendapatkan sokongan bank itu untuk sebuah kompleks gas besar di Ust-Luga, Rusia, pakar dalaman membangkitkan kebimbangan mengenai jenayah kewangan, reputasi dan alam sekitar.
/file/attachments/890/Trumpbankingrecordseditorialcollage18Nov2026304am_409420.png)
Ketua pembiayaan perdagangan mempunyai keutamaan berbeza. “Amat penting dan kita mesti mendapatkan urus niaga ini.” Urus niaga itu diluluskan.
Dalam jawapannya, Linde berkata pihaknya bertanggungjawab terhadap prestasi alam sekitar operasinya “melalui sasaran yang jelas dan pelaporan yang telus.”
Kenyataan itu menambah: “Sebagai tindak balas terhadap pencerobohan (Ukraine) dan kesan sekatan global, Linde mengeluarkan entiti perniagaan gas industri dan kejuruteraannya di Rusia daripada penyata kewangan disatukan kumpulan mulai 30 Jun 2022; syarikat telah beroperasi dengan mematuhi sepenuhnya semua sekatan global yang terpakai dan menghentikan sebarang penglibatan dalam projek Ust-Luga.”
Deutsche Bank berkata dakwaan pihaknya “cuba memintas atau mengelak daripada menggunakan rangka kerja kemampanannya tidak benar. Bank melaksanakan dasar dan proses tadbir urusnya terhadap urus niaga serta aktiviti pelanggan mengikut piawaian yang terpakai pada masa berkenaan.”
Bank itu menambah: “Ketika projek gas asli cecair (LNG) Ust-Luga dimulakan, pihak yang terlibat dalam urus niaga itu tidak dilarang berurus niaga di bawah sekatan yang terpakai.” Menurut bank itu, urus niaga tersebut “tertakluk kepada proses semakan risiko alam sekitar dan reputasi yang ditetapkan bank.”
Di Myanmar, urusan bank itu turut menimbulkan kebimbangan.
Pihak luar yang memperjuangkan isu itu, termasuk sekumpulan senator AS, memberi amaran pada 2021 bahawa urusan perniagaan antara syarikat tenaga multinasional dengan syarikat tenaga milik kerajaan Myanmar, MOGE, boleh menyokong junta tentera secara tidak langsung.
Namun, e-mel Deutsche Bank menunjukkan pihaknya meluluskan peningkatan nilai jaminan kepada gergasi tenaga Halliburton bagi kerja di Myanmar, tidak lama sebelum Kesatuan Eropah mengenakan sekatan terhadap MOGE pada Februari 2022. Rekod menunjukkan jaminan itu meliputi perkhidmatan yang diberikan Halliburton kepada sebuah projek medan minyak yang sebahagiannya dimiliki MOGE.
Halliburton tidak menjawab permintaan untuk mengulas. Deutsche Bank tidak menjawab secara langsung soalan berkaitan Halliburton, Myanmar dan MOGE.
‘Orde Baru’
Apabila Trump memenangi penggal pertamanya sebagai presiden pada 8 Nov 2016, Deutsche Bank berdepan situasi yang hampir tidak pernah berlaku sebelum itu: bakal presiden tersebut juga seorang daripada peminjamnya yang paling kontroversi. Bank itu mewujudkan projek khas berkaitan Trump, dengan nama kod “Novus Ordo”. Tatanan Baru.
Dokumen berkaitan Trump dikawal rapi. Akses dihadkan. Komunikasi disulitkan. Hubungan peribadi diminimumkan. Namun, ada masalah lebih besar: Trump dan perniagaannya masih mahukan sesuatu daripada Deutsche Bank, seperti perubahan kepada pinjaman sedia ada.
Hubungan itu pernah mengalami keretakan teruk sebelum ini. Selepas Trump gagal membayar balik pinjaman untuk menaranya di Chicago ketika krisis kewangan, dia menyaman Deutsche Bank sebanyak AS$3 bilion dolar, pada asasnya menyalahkan bank itu atas krisis yang menjejaskan perniagaannya (kes itu diselesaikan sebelum perbicaraan). Deutsche Bank terus berurusan dengannya.
/file/attachments/890/Trumpbankingrecordseditorialcollage18Nov2026315am_209373.png)
Kemudian timbul pula soal Rusia.
Ketika pendakwa raya AS meneliti dakwaan campur tangan Rusia dalam pilihan raya 2016, pemimpin Demokrat dalam Kongres AS mahu mengetahui sama ada warga Rusia menjamin pinjaman Trump dengan Deutsche Bank, dan sama ada entiti berkaitan Trump pernah menimbulkan kebimbangan lebih luas mengenai pengubahan wang haram.
Bank itu menjalankan semakan dalaman menyeluruh. Menurut e-mel dalaman yang disediakan cawangannya di New York pada 2019, bank itu tidak mengetahui kewujudan “sebarang kaitan melalui bank antara Presiden Trump dengan Rusia berhubung urusan Encik Trump dengan Deutsche Bank.”
Namun, memo pada 2020 daripada Brian Hagerty, yang ketika itu pengarah unit risikan jenayah kewangan bank tersebut di AS, merujuk kepada urus niaga berkaitan dua syarikat Trump bernama DT Marks Baku LLC dan THC Baku Services LLC. Kedua-dua syarikat itu disenaraikan sebagai milik Trump dalam laporan pendedahan kewangannya pada 2015 yang dikemukakan kepada Pejabat Etika Kerajaan AS.
Hagerty tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan ulasan.
Memo itu menyatakan kedua-dua syarikat tersebut bukan pelanggan Deutsche Bank. Namun, urus niaga membabitkan syarikat berkenaan menimbulkan kebimbangan dalaman mengenai kemungkinan kaitan dengan Azerbaijani Laundromat dan Russian Laundromat, dua skim pengubahan wang haram yang terkenal.
Memo Hagerty mencatatkan pada 2018, satu urus niaga antara THC Baku Services LLC dengan “sebuah entiti yang dilaporkan mempunyai kaitan dengan skim Russian Laundromat” telah “dimasukkan dalam laporan aktiviti mencurigakan (SAR).”
Deutsche Bank enggan mengulas mengenai Trump. Secara umum, bank itu berkata, “undang-undang melarang bank daripada mengulas perbincangan mereka dengan pihak berkuasa penyeliaan di AS serta laporan aktiviti mencurigakan, termasuk sama ada laporan tersebut wujud atau tidak.”
Wartawan turut mendapati pada 2017, ketika Trump sudah beberapa lama menjalani penggal pertamanya, seorang kakitangan Deutsche Bank secara tidak sengaja menghantar pautan yang mengandungi maklumat kewangan 1,586 pelanggan kepada pihak luar. Tiga akaun didakwa milik presiden yang baru mengangkat sumpah itu; akaun berkenaan dikenali secara dalaman sebagai “DT” dan “DJT”.
Pengurus membahaskan sama ada Trump perlu dimaklumkan mengenai kebocoran itu, tetapi akhirnya memutuskan perkara tersebut tidak perlu diberitahu kepadanya. Seorang pengurus menyifatkannya sebagai “hasil yang cemerlang”. Sewing meluluskan cara kes itu dikendalikan dengan jawapan ringkas, “Ok.”
Pengawasan lebih ketat
Kebocoran Inside Deutsche Bank berlaku pada waktu yang amat sensitif bagi institusi yang sudah pun berada di bawah pengawasan lebih ketat. Tahun ini saja, pejabatnya telah diserbu sekurang-kurangnya empat kali, dan bank itu telah membuat beberapa pendedahan kepada pihak berkuasa atas inisiatif sendiri, menurut sumber yang mengetahui perkembangan siasatan tersebut.
Di tengah-tengah tekanan yang semakin meningkat, kebocoran itu memberikan gambaran yang belum pernah diperoleh sebelum ini tentang apa yang berlaku di sebalik pintu tertutup. Trump. Epstein. Deripaska. Abramovich. Jho Low. Malah, Raja Thailand Rama X, yang tidak menjawab permintaan untuk mengulas, juga pernah menjadi pelanggan. Senarai nama besar dan syarikat global dalam dokumen yang bocor itu begitu panjang.
Bagi ramai pelanggan ini, laporan tersebut bukan mengenai sebarang salah laku mereka sendiri. Isunya, Deutsche Bank memiliki maklumat amat sensitif mengenai kewangan, keluarga, syarikat serta pengelasan tahap risiko mereka oleh bank dan maklumat itu telah bocor.
Bank itu sendiri sudah menjangkakan bahaya tersebut.
Selepas insiden yang jauh lebih kecil pada 2021, apabila maklumat pelanggan tersalah dihantar, seorang kakitangan memberi amaran bahawa firma guaman yang mempunyai kepakaran khusus mungkin melihat peluang perniagaan dengan menyaman bank itu atas pelanggaran keselamatan data. Kakitangan itu meramalkan, tidak lama lagi pelanggan boleh mencari contoh standard tuntutan undang-undang dalam talian dan menyalinnya sepenuhnya, atau “1:1”.
Skala kebocoran Inside Deutsche Bank jauh berbeza sama sekali.
/file/attachments/890/Trumpbankingrecordseditorialcollage18Nov2026305am_655320.png)
Kemungkinan berdepan saman hanya satu daripada ancamannya. Badan kawal selia mungkin meneliti sistem keselamatan data dan pematuhan peraturan bank itu. Dengan bahan tersebut kini berada dalam tangan pihak berkuasa AS, mereka boleh menyelongkar himpunan besar fail untuk mencari perbuatan yang sebelum ini tidak diketahui. Pelanggan pula boleh memutuskan sama ada mereka masih mempercayai bank itu untuk menyimpan rahsia mereka.
Perkara paling menjejaskan bank hasil siasatan Inside Deutsche Bank mungkin bukan soal ketiadaan peraturan. Sebenarnya, bank itu menggaji begitu ramai pegawai pematuhan, membina sistem pemantauan yang luas dan berulang kali berjanji kepada badan kawal selia bahawa pihaknya benar-benar sudah mengambil iktibar daripada kegagalan lalu.
Namun, peraturan itu bertembung dengan kepentingan perniagaan besar.
Berulang kali, fail berkenaan menunjukkan urutan yang sama: tanda amaran muncul, pasukan pematuhan membangkitkan kebimbangan, eksekutif membahaskan risiko, dan bank mencari alasan untuk meneruskan urusan. Ada kalanya, pelanggan itu seorang hartawan berpengaruh dalam politik. Ada kalanya, urusan tersebut membabitkan pasaran yang dikenakan sekatan atau projek tenaga yang menguntungkan. Ada kalanya, sistem bank langsung gagal mengesan apa yang berlaku.
Selama bertahun-tahun, Deutsche Bank menentukan apa yang boleh dilihat oleh badan kawal selia, pelanggan dan orang ramai. Zaman itu sudah berakhir.
Kredit tambahan: Sophia Baumann (PTM), Maria Christoph (PTM), Eva Jung (Berlingske), Michael Lund (Berlingske), Maria Fernanda Cruz (Barracuda Media), Aidila Razak (Barracuda Media), Nikita Saxena, Craig Bentley-McKune (Financial Mail), Vernon Wessels (Financial Mail), Cynthia O’Murchu (FT), iStories, Hakan Tanriverdi (PTM), Lukas Kotkamp (Follow the Money), Naish Gawen (Data Desk), Maria Teresa Ronderos (CLIP), Francisca Skoknic (CLIP), Karina Shedrofsky (DARC), Vivian Yap (Malaysiakini), Nigel Aw (Malaysiakini), Aung Naing (Myanmar Now), Amy Doffegnies (Myanmar Now), Hala Nasreddine (DARAJ).
Siasatan Inside Deutsche Bank diselaraskan oleh Barracuda Media di Afrika Selatan, dengan sokongan teknikal daripada Data and Research Center (DARC) di Jerman.
Lapor komen ini
/file/attachments/890/image3_438725.jpeg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.