Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Capaian pada SPPBS ditangguh sebulan mulai 30 Nov
Diterbitkan:  Nov 13, 2013 10:02 PM
Dikemaskini: 2:09 PM

Capaian kepada Sistem Pengurusan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SPPBS) akan ditangguhkan mulai 30 November hingga 31 Disember ini dan dibuka semula mulai 1 Januari hingga 31 Januari 2014.

    

Lembaga Peperiksaan Malaysia dalam satu kenyataan hari ini berkata ia bagi menambah baik capaian kepada sistem itu dan memberi laluan kepada Sistem Aplikasi Pangkalan Data Murid (APDM) mengemaskinikan data murid, lapor Bernama.

Kenyataan itu berkata Kementerian Pendidikan amat memandang berat isu capaian SPPBS oleh guru-guru sewaktu mengisi prestasi murid Tahun 1, Tahun 2, Tahun 3 (Akademik), Tingkatan 1 dan Tingkatan 2 (Akademik dan bukan Akademik) bagi tahun ini.

    

"Bagi memberi peluang kepada guru untuk memasukkan prestasi ke dalam sistem, kementerian melanjutkan proses pengisian prestasi 2013 kepada guru-guru yang terlibat sehingga 31 Januari 2014.

    

"Bagaimanapun, bagi memastikan sistem itu lebih efisyen, pihak kementerian juga ingin memaklumkan bahawa capaian kepada SPPBS ditangguhkan daripada 30 November sehingga 31 Disember 2013," kata kenyataan itu.

Semalam dilaporkan bahawa ekoran kegagalan kerajaan meringankan beban kerja perkeranian guru sekolah rendah, ada kalangan warga pendidik mewujudkan laman Facebook menuntut supaya Kementerian Pendidikan untuk membuat penambahbaikan atau menghapuskan bebanan mereka.

Aduan mereka berhubung SPPBS yang dilaksanakan pada 2011 supaya guru berkenaan memasukkan data lengkap dan keputusan peperiksaan pelajar mereka.

Bagaimanapun, masalah yang dihadapi para guru di sekolah terbabit adalah mutu perkhidmatan pelayan komunikasi yang memaksa mereka menghabiskan masa berjam-jam untuk memasukkan data tersebut.

1. Warga pendidik protes sistem SPPBS di Facebook

 

ADS