KOLUM | Pada Isnin lalu, dunia dikejutkan dengan dakwaan hubungan terlarang  CEO Nvidia, Jensen Huang, dengan wanita dikenali sebagai Alice Huang sehingga boleh memberi kesan kepada masa depan AI global, sekali gus kedudukan ekonomi Malaysia.

Pendedahan itu bukan saja tentang kisah kecurangan seorang suami tetapi membawa persoalan  kesetiaan Huang terhadap negaranya. Huang boleh dituduh mengkhianati AS.

Walaupun Huang lahir di Taipei, Taiwan tetapi dia telah berikrar untuk memberikan sepenuh kesetiaannya kepada AS semasa diterima menjadi rakyat negara itu sekitar 1973.

Ketika itu Huang baru berusia sembilan tahun.

Pengkhianatan boleh berlaku jika dia memang pernah membocor sebarang rahsia kepada Alice - dan jika benarlah wanita itu seorang perisik China seperti dituduh Washington.

Huang menegaskan bahawa dia bukan saja setia kepada AS malah menyayangi negara itu.

Hal itu kerana AS itulah yang memberikan dia ruang untuk mencapai kejayaan sehingga menjadi bilionair dan muncul sebagai antara ahli perniagaan paling berpengaruh di dunia serta pelopor revolusi kecerdasan buatan (AI).

Maka Huang telah memberikan sumbangan besar pada pembangunan teknologi komputer AS yang sudah tentu membantu peningkatan keupayaan ketenteraan mereka.

Perlu juga disebut bahawa komitmen Huang terhadap Nvidia amat tinggi. Misalnya dia bekerja tujuh hari seminggu. Kejayaan Nvidia itu berkait rapat dengan sistem kapitalis AS.

Setia kepada Nvidia bererti juga setia kepada AS dan sistem kapitalis.

Anggap hanya nak burukkan China

Tetapi skandal berkenaan menjadi lebih luas kerana ia boleh mengheret pentadbiran  kerajaan Presiden Donald Trump. Trump telah diberitahu mengenai skandal berkenaan setahun lalu tetapi tidak melakukan apa-apa.

Malah Trump mempertahankan Huang yang disifatkannya sebagai seseorang yang terhormat (honourable). Trump juga membela Huang dengan mendakwa lelaki terbabit tidak mengetahui bahawa Alice adalah seorang perisik.

Menurut Trump, dia bertanya sendiri kepada Huang dan yakin dengan penjelasan yang diberikan.

Huang bukanlah penyokong politik Trump seperti Elon Musk. Malah Huang bukanlah penyokong mana-mana parti politik. Dia hanya bersama dengan kerajaan AS walau siapa pun yang memerintah.

Tetapi pentadbiran Trump dari Republikan adalah mesra korporat khususnya syarikat-syarikat teknologi, apatah lagi jika ia melibatkan AI - yang disebut sebagai super intelligence oleh Trump.

Hubungan cinta (affair) di antara Huang dan Alice yang berjalan selama setahun itu dianggap terlarang bukan semata-mata kerana dia seorang suami, tetapi juga seorang CEO sebuah syarikat paling bernilai di dunia.

Gambar Huang dan wanita didakwa perisik China, Alice.

Banyak pemegang saham Nvidia terkesan apabila nilainya jatuh merudum, manakala Alice pula disyaki oleh agensi perisikan AS sebagai perisik Beijing. Namu agensi perisikan AS terbabit tidak dinamakan.

Boleh jadi Agensi Perisikan Pusat (CIA), atau Biro Siasatan Persekutuan (FBI) atau Jabatan Perdagangan. Mereka juga tidak menamakan agensi perisikan China yang mana didakwa terkait dengan Alice, sama ada Kementerian Keselamatan Negara (MSS) atau pihak yang lain.

Jurucakap Kementerian Luar China, Guo Jiakun, menyatakan bahawa tuduhan Washington itu tidak berasas, bahkan bertujuan untuk memburukkan China.

Tetapi apa yang dilakukan oleh China itu adalah suatu yang tidak mustahil.

Hampir semua negara mempunyai badan perisikan tersendiri hinggakan boleh dikatakan agensi seumpama itu merupakan sebahagian daripada mana-mana kerajaan moden. Siapa yang tidak kenal CIA, KGB, Mossad dan MI6.

Laporan awal skandal itu datang dari akhbar The New York Times yang secara umumnya lebih boleh dipercayai berbanding media China. Namun, walaupun wartawan akhbar itu turut berusaha menyiasat hingga ke Singapura dan Malaysia, besar kemungkinan pendedahannya bermula dari memorandum kerajaan yang dibocorkan.

Empat konteks penting

Sebagai pengasas bersama dan CEO Nvidia, Huang merupakan pemimpin utama dalam gerakan “revolusi AI” global. Ada yang menyebut dia sebagai “arkitek AI”. Ada juga yang menamakan Huang “maharaja AI”.

Apa yang berlaku pasti memberi kesan kepada perkembangan AI. Hal itu kerana, tanpa Huang, tiadalah Nvidia. Syarikat itu pula merupakan tulang belakang ledakan AI global kerana sistem-sistem yang dibangunkannya meliputi perkakasan, perisian dam pusat data dengan menempatkan bagaimana model AI dilatih, digubal dan dialirkan ke seluruh dunia.

Dalam bahasa lain: tanpa Nvidia, tidak akan ada AI.

Sementara Alice pula ialah bekas eksekutif kanan Megaspeed International yang berpangkalan di Singapura dan dinamakan sebagai Nvidia cloud partner. Infrastruktur utamanya ialah pusat data yang terletak di Taman Perindustrian Bandar Cemerlang, Kota Tinggi, Johor.

Ia disebut sebagai projek berskala hiper (lebih besar daripada besar) berkeluasan 525 ekar dengan nama MSFusion Johor Campus. Projek itu dikendalikan oleh anak syarikatnya di Malaysia iaitu, Speedmatrix/MSFusion.

Tapak berkenaan direka bentuk untuk menghasilkan kuasa 300MW bagi menggerakkan kluster GPU Nvidia.

GPU ialah unit pemprosesan grafik. Fungsi utama GPU bagi AI ialah mempercepatkan pengiraan matematik dengan memproses ribuan operasi secara serentak. Kalau pada komputer ada unit pemprosesab pusat (CPU), maka otak AI adalah GPU.

Di sini, ada empat konteks yang perlu diperhatikan.

Pertama, pada waktu ini dan akan datang sedang berlaku persaingan sengit di antara AS dan Chiha dengan AI sebagai medan pertarungan. Konteks kedua ialah kedudukan penting Malaysia dalam ekosistem AI menjadikan negara ini amat strategik bukan saja bagi Washington dan Beijing, malah untuk seluruh dunia.

Maknanya masa depan projek AI amat berkaitan dengan Malaysia.

Kuncinya terletak pada ekosistem khususnya pusat data. Sememangnya Nvidia turut mempunyai pusat data di negara-negara lain termasuk Indonesia dan Australia. Tetapi kedudukan Malaysia bersama Singapura menjadikan ia tarikan kepada pembinaan pusat data.

Hal itu kerana pusat data amat memerlukan kawasan yang luas, tenaga yang banyak dan air yang mencukupi untuk menggerakkannya. Faktor tambahan ialah sistem pentadbiran yang efisien dan stabil.

Maka kebangkitan ekonomi masa depan turut menyumbang kepada motivasi parti-parti politik untuk menguasai negara ini.

Sama-sama belajar di U

Konteks ketiga ialah iklim rasis apabila sebahagian orang kulit putih bersikap Sinophobia yang tidak terhad kepada warga China malah Taiwan dan diaspora Cina, khususnya orang Cina AS.

Pun begitu, banyak pemain teknologi di Lembah Silicon, California adalah berwarisan Cina (Chinese heritage) iaitu dari diaspora mereka.

Konteks keempat ialah persaingan politik di antara Republikan dan Demokrat dalam gejolak politik AS. Demokrat baru saja menang pilihan raya pertengahan penggal dengan menguasai Dewan Perwakilan dan Senat. Demokrat mula mengenakan tekanan ke atas pentadbiran Trump.

Antaranya ialah dengan mengekang pengaruh bilionair teknologi.

Huang, 63, adalah warga AS manakala Alice, 42, seorang wanita warga China.

Ibu Huang ialah Lo Tsai-hsu yang berkahwin dengan Huang Hsing-tai. Kedua-dua mereka berasal dari Taiwan. Si bapa seorang jurutera kimia dan pernah mengikuti latihan sambil bekerja dengan pengeluar penyaman udara jenama AS, Carrier.

Dari situlah si bapa berazam untuk berhijrah ke AS.

Sebelum berhijrah ke AS, Huang sempat membesar di Taiwan dan Thailand. Dia belajar di Kentucky State University dan Oregon State University. Dia bertemu dengan Lori Mills yang sama-sama belajar kejuruteraan ketika berusia 17 tahun.

Huang mengambil ijazah sarjana di Universiti Stanford. Dia berkahwin dengan Lori pada tahun 1985 ketika berusia 22 tahun, manakala Lori 24 tahun.

Lori bekerja sebagai pereka bentuk cip komputer di Hewlett-Packard sebelum berhenti untuk memberi tumpuan penuh kepada keluarga mereka.  Pada 1993 - ketika berusia 30 tahun  dan dengan sokongan Lori - Huang menubuhkan Nvidia sebagai syarikat pembuat permainan komputer.

Huang sering disebut-sebut sebagai salah seorang Tech Bros atau usahawan AI yang mempelopori revolusi AI bersama Elon Musk, Sam Altman, Mark Zuckerberg dan Jeff Bezos.

Jeff Bezos dan bekas isterinya.


Latar belakang Alice pula tidak diketahui. Apa yang dilaporkan ialah nama asalnya ialah Huang Le dan pernah bekerja sebagai pemberita Hunan TV.  Dia kemudian bekerja dengan syarikar pelaburan China, Citic, sebelum mengasaskan Megaspeed yang asalnya merupakan syarikat permainan komputer, 7Road International, pada awal 2023.

Alice menjadi pengarah urusan atau CEO. Dia kemudian meninggalkan Megaspeed pada Nov 2023 dan syarikat itu diserahkan kepada Swiftdata yang dimiliki oleh seorang warga Singapura.

Megaspeed membeli cip Nvidia dengan jumlah yang banyak dan ditempatkan di Malaysia.

Dari situ, pengguna dari China menyewa kemudahan tersebut secara atas talian untuk menggunakannya. Dengan itu, mereka tidak melanggar sekatan AS yang dikenakan ke atas penjualan cip tertentu Nvidia.

Perisik atau tidak?

Bagaimanapun, penyiasat AS mengesan ada juga barang-barang itu dijual ke China.

Naratif media Barat menyifatkan Alice sebagai honeypot iaitu perisik yang menggunakan tarikan cinta serta seks untuk mendapatkan maklumat, atau memanipulasi sasaran untuk melakukan sesuatu.

Sasarannya ialah Huang yang juga diketahui mempinyai pendirian bahawa cip Nvidia tidak wajar disekat jualannya di China kerana negara itu mempunyai pasaran besar.

Maknanya Huang telah termasuk dalam perangkap perisikan honey trap.

Kini, tidak diketahui di mana Alice berada.

Juga tidak diketahui sama ada dia benar-benar perisik atau tidak. Gambarnya bersama Huang sebelum ini boleh diperoleh dan diedarkan secara bebas.

Kalau Alice itu perisik, mengapakah gambar bersama itu terang-terangan disiarkan?

Tetapi jika Alice benar-benar seorang perisik, maka misi dia sudah berjaya dan Huang yang terpedaya. Jika ini yang berlaku China telah berjaya mengalahkan dan memalukan AS.


ZIN MAHMUD ialah wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.