Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bangladesh bentang karpet merah untuk Najib
Diterbitkan:  Nov 18, 2013 10:25 AM
Dikemaskini: 2:27 AM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menerima sambutan karpet merah ketika tiba di ibu negara Bangladesh sempena lawatan sulung rasmi tiga hari beliau, bermula semalam.

Ketibaan Perdana Menteri bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, pada 8.05 malam waktu tempatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Hazrat Shahjalal dari Colombo, Sri Lanka disambut rakan sejawatannya, Sheikh Hasina serta Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Bangladesh Norlin Othman dan menteri kanan Bangladesh.

Kehadiran Najib, atas jemputan Sheikh Hasina, amat bermakna kepada negara ini kerana Malaysia adalah antara negara terawal mengiktiraf kemerdekaan Bangladesh dan negara Islam pertama yang berbuat demikian pada 1971.

Sepanjang berada di Dhaka, Perdana Menteri dijadual melawat tugu peringatan tentera yang terkorban semasa perang kemerdekaan Bangladesh di Savar sebelum merasmikan Hospital Pakar Peringatan dan Kolej Kejururawatan Sheikh Fazilatunnesa di Gazipur.

Beliau akan turut melawat Muzium Peringatan Bangabandhu sebelum mengetuai delegasi Malaysia pada mesyuarat dua hala dengan Sheikh Hasina, yang turut dihadiri Anifah serta Duta Khas Malaysia di Asia Selatan Datuk Seri S.Samy Vellu.

Najib juga dijadual melakukan kunjungan hormat ke atas Presiden Bangladesh Md Abdul Hamid serta menghadiri makan malam yang dihoskan Sheikh Hasina.

Sebelum ke Bangladesh, Perdana Menteri mengetuai delegasi Malaysia pada Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) 2013 di Colombo.

Beliau dijadual pulang ke tanah air pagi Selasa.

- Bernama

ADS