PARLIMEN l Perbahasan Dewan Rakyat hari ini kecoh seketika apabila Timbalan Menteri Kerja Raya Ahmad Maslan diarah menarik balik perkataan “kencing” dalam pantun yang dibacakannya selepas RSN Rayer (PH-Jelutong) bangun membantah, menyifatkannya sebagai sindiran terhadap Pakatan Harapan.

Pada sidang media berasingan, sekumpulan ahli parlimen PH mencabar Ahmad meletakkan jawatan sebagai timbalan menteri susulan pantun yang dianggap menyindir pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Kekecohan tercetus ketika perbahasan peringkat jawatankuasa apabila Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) bangun mencelah untuk bertanya sama ada janji yang didakwa belum ditunaikan itu dibuat sekadar untuk memenangi pilihan raya.

Ahmad Maslan (BN - Pontian)

Ahmad menjawab bahawa masih banyak janji yang belum ditunaikan, sebelum bertanya sama ada Dewan mahu mendengar pantun.

“Jika tuan pergi memancing,

Jangan lupa membawa umpan.

Jika tak mahu kena kencing,

Sokong Barisan dan Perikatan.”

Ungkapan “kena kencing” dalam pantun itu digunakan dalam maksud “kena tipu”.

RSN Rayer (PH - Jelutong) segera bangun dan mempersoalkan sama ada Ahmad menjawab sebagai timbalan menteri kerajaan perpaduan atau sebagai pemimpin Umno.

“Jangan hina kami di Dewan. Jangan memalukan diri sendiri. Jangan berpolitik.

“Kamu adalah timbalan menteri kerajaan perpaduan. Kamu sepatutnya menjelaskan soalan, bukan menghina kerajaan,” katanya.

Takiyuddin Hassan (PN - Kota Bharu) kemudian tampil mencelah dengan menyindir bahawa permintaan Rayer selaku seorang penyokong kerajaan yang menghina kerajaan (timbalan menteri) lebih teruk.

Bagaiamanpun, Timbalan Yang di-Pertua, Ramli Mohd Nor, berjaya mengawal keadaan dengan berapa kali meminta Ahli Parlimen menjaga tatatertib.

"Kita ini Ahli Parlimen, kita sedang diperhatikan," katanya sambil meminta Ahmad tarik balik perkataan kencing dan memohon maaf.

Ahmad pada mulanya mempertahankan diri dengan berkata dia tidak menyebut PH kerana nama gabungan itu sudah dibuang daripada versi asal pantunnya.

RSN Rayer (PH- parliament session 16112026

Susulan itu, Ramli memutuskan bahawa bahagian berkenaan tidak merujuk kepada mana-mana pihak, namun tetap mengarahkan perkataan itu ditarik balik. Selepas arahan itu diulang beberapa kali, Ahmad akhirnya akur.

“Kencing, yang Speaker kata tarik balik ya. Kencing tarik balik,” katanya.

Pada sidang media di Parlimen, Aminuddin Harun (PH-Port Dickson), Aminolhuda Hasan (PH-Sri Gading), Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) dan Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) mendesak Ahmad meletakkan jawatan sebagai timbalan menteri.

Aminuddin berkata 29 ahli parlimen telah mengemukakan soalan ketika perbahasan peringkat jawatankuasa, namun Ahmad memilih untuk menyampaikan ucapan yang disifatkannya sebagai “berunsur politik melampau dan provokatif”.

Menyatakan rasa kecewa, Aminolhuda berkata “orang-orang Johor” terkenal dengan penggunaan bahasa yang lebih lunak.

“Tetapi tidak apalah kalau dia merasakan bahawa dia tidak bersetuju dengan pendekatan yang dibawa pada hari ini, maknanya sewajarnya beliau boleh meninggalkan jawatan itu,” katanya.

Pada sidang media di Parlimen, Aminuddin Harun (PH-Port Dickson), Aminolhuda Hasan (PH-Sri Gading), Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka), RSN Rayer (PH - Jelutong) dan Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) menggesa Ahmad meletakkan jawatan sebagai timbalan menteri

“Kerajaan hari ini ialah Kerajaan Perpaduan, sepatutnya ada tanggungjawab bersama.

“Jadi kalau timbalan menteri dalam penggulungan beliau mengeluarkan kata-kata sedemikian, menyindir kerajaan yang sedia ada ini dia sepatutnya letak jawatan,” tegas Khoo.

Terdahulu, ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2027 bagi Kementerian Kerja Raya, Ahmad berkata beberapa soalan yang dibangkitkan berkisar pada janji pilihan raya PH yang tidak pernah dibuat oleh BN.

“Mengenai mansuh tol, kami tidak ada berjanji untuk mansuh tol ini. Kami juga tak berjanji mansuh PTPTN. Kami juga tidak berjanji untuk beri KWSP untuk suri rumah. Kami tak berjanji ya.

“Kami itu sayalah. Saya itu parti sayalah. Kami tidak berjanji untuk melakukan perkara-perkara itu. Kami tak berjanji untuk turunkan minyak RM1.50. Kami tak berjanji.

“Jadi, siapa yang berjanji itu, dia kena jawab,” katanya merujuk kepada janji-janji PH sebelum menjadi kerajaan.


Malaysiakini telah menghubungi Ahmad untuk mendapatkan maklum balas lanjut.