Bukit Aman sedang mengesahkan identiti seorang lelaki yang didakwa rakyat Malaysia selepas dia ditembak mati polis di selatan Filipina dalam operasi dadah hujung minggu lalu membabitkan 2kg metamfetamin bernilai lebih AS$200,000.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Hussein Omar Khan memberitahu Malaysiakini Agensi Penguatkuasaan Dadah Filipina (PDEA) berkongsi butiran kejadian berbalas tembakan itu, yang turut mengorbankan seorang warga Filipina dipercayai rakan lelaki berkenaan dalam operasi penyeludupan itu.

“Dakwaan suspek itu warganegara Malaysia dibuat berdasarkan kad daripada sebuah klinik swasta di Sabah,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, tiada dokumen pengenalan diri rasmi ditemui pada lelaki berkenaan.

Bernama yang memetik Agensi Berita Filipina melaporkan pegawai PDEA wilayah Tawi-Tawi, Abraham Solon Kalim, mengenal pasti lelaki yang didakwa rakyat Malaysia itu sebagai Janimal Bin Hajad, juga dikenali sebagai “Ungod”.

Abraham dilaporkan mengenal pasti seorang lagi lelaki yang terbunuh dalam operasi itu sebagai Sansibar Amirul Amil, seorang warga Filipina.

Menurut PDEA, kedua-dua lelaki itu cuba menjual kira-kira 2kg bahan disyaki metamfetamin, yang dikenali di sana sebagai shabu, ketika satu operasi penyamaran di Tubig Mampallam, Bongao, hujung minggu lalu.

Agensi itu berkata kedua-dua lelaki itu melepaskan tembakan ke arah pegawainya ketika cuba melarikan diri menaiki sebuah bot kayu bermotor. Dua wanita cedera terkena peluru sesat dan dibawa ke hospital. Tiada pegawai cedera.

Pihak berkuasa Filipina dilaporkan merampas bahan disyaki dadah itu, sepucuk pistol serta bot berkenaan.

Polis Malaysia dan PDEA bertemu di Kota Kinabalu pada 20 Okt dan bersetuju bertukar dokumen serta hasil siasatan berhubung kes berasingan membabitkan rampasan 521kg metamfetamin di Laos pada 1 Okt.

Ditanya sama ada Bukit Aman sudah mengenal pasti kaitan antara kedua-dua kejadian itu, Hussein berkata, “Dalam proses pengesahan.”

Hussein sebelum ini memberitahu Malaysiakini maklumat yang dikongsikan polis Malaysia membantu PDEA mengesan satu sindiket yang disyaki terlibat dalam kegiatan dadah di Filipina.