Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Teresa tarik balik dua saman terhadap Utusan

Anggota Parlimen Seputeh Teresa Kok Suh Sim hari ini menarik balik dua samannya terhadap Utusan Melayu (M) Berhad dan kolumnis, Datuk Mohd Zaini Hassan berhubung dua buah artikel yang disiarkan dalam akhbar itu pada 2008.

    

Hakim Mahkamah Tinggi Siti Khadijah S Hassan Badjenid merekodkan penyelesaian itu selepas peguam K Muralidharan, yang mewakili Kok memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak guamnya itu bersetuju untuk menarik balik samannya terhadap Utusan Melayu dan Mohd Zaini.

    

Bagaimanapun, Muralidharan tidak mengemukakan sebarang alasan mengenai penarikan balik saman tersebut.

    

Mahkamah juga membenarkan saman itu ditarik balik tanpa sebarang kos dan tanpa kebebasan untuk memfailkan semula tindakan saman baru.

    

Pada 9 Oktober 2008, Kok, 49, memfailkan saman terhadap Mohd Zaini, yang kini merupakan Penolong Ketua Pengarang 1 Kumpulan Utusan dan Utusan Melayu berhubung artikel bertajuk 'Azan, Jawi, Jais, UiTM dan ba-alif-ba-ya'.

Kok mendakwa artikel yang disiarkan akhbar Utusan Malaysia pada 10 September 2008, membawa maksud antara lain beliau seorang yang tidak boleh dipercayai, ahli politik yang jahat, bersikap perkauman dan anti-Islam.

    

Satu lagi saman pula berhubung isu laungan azan di Masjid Kinrara di Kuala Lumpur yang disiarkan dalam akhbar Utusan Malaysia pada 8 September 2008.

    

Dalam saman itu Kok menamakan Dr Mohamad Khir Toyo dan Utusan Melayu (M) Berhad sebagai defendan.

    

Dalam pernyataan tuntutannya, Kok mendakwa pada 26 Jun 2008, Dr Mohamad Khir telah memetik sebuah blog dikenali sebagai "pembelamelayu.blogspot" dan membuat tuduhan salah terhadapnya manakala Utusan Melayu telah menerbitkan kata-kata Dr Mohamad Khir berhubung perkara itu dalam akhbarnya yang bertajuk "Ada usaha larang azan di masjid Selangor".

    

Bagaimanapun bagi kes yang melibatkan bekas menteri besar Selangor itu, mahkamah menetapkan 11 Disember ini untuk sebutan bagi kedua-dua pihak berbincang sama ada untuk menyelesaikan kes tersebut.

Utusan Melayu diwakili peguam T.K.B Mohana Kumar.

- Bernama

ADS