Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

VIDEO l 2:20 mins

Anggota Parlimen Gombak, Azmin Ali menggesa Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim menangguhkan kenaikan gaji buat wakil rakyat Selangor yang akan berkuat kuasa mulai tahun depan.

Menurutnya, perkara tersebut diputuskan tanpa perbincangan dengan wakil rakyat lain dan kajian semula perlu dibuat agar kadar kenaikannya lebih munasabah.

"Saya cadangkan kenaikan elaun ini ditangguhkan dan dikaji semula agar lebih munasabah dan diterangkan kepada rakyat akan kenaikan ini," kata Azmin yang juga merupakan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Selangor pada sidang media di lobi Parlimen petang tadi.

Menurut Azmin, usul kenaikan gaji itu pada mulanya dibentangkan Khalid "untuk dikaji" sewaktu pembentangan belanjawan 2014 Selangor pada 19 November lalu.

Azmin bagaimana pun terkejut apabila usul itu dibentangkan Khalid dalam masa kurang dari seminggu.

"BBC menyambut baik cadangan mengkaji tetapi yang mengejutkan kita dalam tempoh seminggu kajian sudah siap dan dibentangkan semalam tanpa ada perbincangan dengan BBC," katanya sambil menegaskan BBC tidak pernah membuat tuntutan tersebut sebelum ini.

Azmin yang juga merupakan ADUN Bukit Antarabangsa bagaimana pun tidak membantah kenaikan tersebut sewaktu ia dibentangkan Khalid dalam DUN Selangor.

DUN Selangor semalam meluluskan kenaikan gaji untuk 56 ADUN berkuatkuasa tahun depan, dengan timbalan speaker mendapat kenaikan tertinggi sebanyak 373.3 peratus.

Rang undang-undang Enakmen Anggota Pentadbiran dan Anggota Dewan Negeri (Saraan) (Pindaan) 2013 juga memperuntukkan kenaikan gaji menteri besar, speaker dan exco kerajaan negeri.

Khalid, ketika membentangkan rang undang-undang itu berkata, mesyuarat exco pada 22 November bersetuju menaikkan kadar gaji itu berdasarkan formula 75 peratus daripada elaun dan gaji yang diterima ADUN dan anggota pentadbiran Sarawak.

 

 
 
 
 
 
 
 

 

ADS