Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memaklumkan isu pergaduhan antara pasukan Johor Darul Takzim (JDT) dan pasukan Terengganu T-Team Sabtu lalu di Stadium Tan sri Hassan Yunos, Larkin di luar bidang kuasa mereka.

Pengerusinya Datuk Taufik Abdul Razak menegaskan, sebarang hukuman mahupun siasatan akan dijalankan Jawatankuasa Pertandingan Tempatan pada hari Khamis depan.

"Tunggu sahaja Khamis ini, kita (JKTT) tiada kuasa jatuhkan hukuman, kerana ia bawah Jawatankuasa Pertandingan Tempatan, mereka mempunyai kuasa untuk menjatuhkan hukuman," katanya dalam sidang media di Wisma FAM, di ibu negara hari ini.

 Dalam insiden kelmarin, T-Team dilapor enggan meneruskan perlawanan pada separuh masa kedua atas faktor keselamatan.

Bernama melaporkan, tindakan itu dipercayai akibat pemain import Brazil Evaldo Rodrigues dan jurulatih kecergasan Stefano Impagliazzo dikasari pengurusan tertinggi JDT ketika menuju ke bilik persalinan selepas tamat separuh masa pertama.

Pada masa itu, JDT mendahului 2-1 pada separuh masa.

Sementara itu, seorang petugas media yang merakamkan insiden pergaduhan pegawai pasukan bola sepak Johor Darul Takzim (JDT) dan T-Team juga diugut supaya menghentikan rakaman.

Sementara itu, Taufik turut mengumumkan hukuman denda RM5,000 dan amaran keras kepada 17 pemain pasukan Kuala Lumpur yang dikatakan terbabit dalam skandal mengatur perlawanan.

PBNJ sedia kerjasama

Dalam perkembangan berkaitan, Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) hari ini menegaskan sedia bekerjasama dengan pihak polis ekoran insiden ketika pertandingan antara Johor Darul Takzim (JDT) dan T-Team di Larkin, kelmarin.

Dalam kenyataan ringkasnya hari ini, PBNJ berkata, pihaknya maklum bahawa laporan polis dibuat berhubung insiden itu terhadap penangguhan perlawanan dua pasukan itu.

“PBNJ sedia memberi kerjasama dengan pihak polis dalam perkara ini,” menurut kenyataan itu.

ADS