Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishamuddin Hussein mempertahankan langkah Malaysia tidak memeriksa pasport penumpang MH370 menggunakan pangkalan data Interpol mengenai pasport yang hilang.

Ketika ditanya pemberita mengenai mengapa dua penyamar berjaya menaiki penerbangan itu walaupun pasport mereka palsu, Hishamuddin ( kanan ) menjawab:

"Adakah anda tahu berapa banyak pasport hilang dalam senarai Interpol? Saya diberitahu 40 juta."

Dua individu berkenaan menggunakan identiti warga Itali Luigi Maraldi dan Austria Christian Kozel yang dikatakan mempunyai wajah 'berciri Asia' ketika menaiki penerangan dari Kuala Lumpur tiga hari lalu.

Interpol dalam kenyataan mereka semalam membidas pihak berkuasa Malaysia yang tidak mengambil peduli pangkalan data badan antarabangsa itu yang menunjukkan pasport mereka telah hilang dua tahun lalu.

Hishammuddin menambah pihak risikan Amerika Syarikat dan China kini bekerjasama bagi mengenalpasti identiti dua penyamar terbabit.

"Saya telah bertemu dengan mereka semalam dan hari ini kami berkongsi maklumat biometrik dan latar belakang serta rakaman visual di KLIA.

"Kini maklumat itu sedang dicernakan agensi terbabit," katanya yang juga menteri pertahanan.

Hishamuddin turut berjanji akan menyerahkan gambar dua individu terbabit kepada media selepas dibenarkan bertujuan membantu siasatan.

Bagaimanapun beliau langsung tidak mahu mendedahkan apa-apa mengenai dua penyamar itu walaupun Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zahid Hamidi menyelar pihak imegresen kerana membenarkan lelaki berpasport Eropah dan berwajah Asia menaiki pesawat berkenaan.

Malah ketika ditanya, Hishammuddin yang juga ahli parlimen Sembrong mendakwa tidak tahu mengenai hal kedua-dua individu itu.

"Tak saya tak tahu (mereka berwajah Asia). Siapa beritahu maklumat itu?" katanya.

ADS