Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Operasi APMM diperluas hingga ke Laut Andaman

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang terlibat operasi mencari dan menyelamat pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 kini digerakkan ke selatan Thailand dan Laut Andaman.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim berkata operasi itu yang turut dibantu negara luar kini diperluas bagi mengesan sebarang petunjuk yang boleh membawa kepada penemuan pesawat berkenaan.

"APMM akan lipat ganda dan memperhebat usaha itu," katanya menjawab soalan tambahan Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa (PAS-Parit Buntar) di Dewan Rakyat hari ini.

Mujahid ingin tahu peranan APMM dalam operasi itu yang kini memasuki hari kelima. Pesawat Boeing 777-200 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal itu dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing sebelum dilapor hilang kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, awal Sabtu lepas.

Menjawab soalan asal Mujahid, Menteri itu berkata APMM masih mampu menjalankan tugas dengan baik sekalipun kebanyakan asetnya sudah berusia.

"Sebanyak 55 buah kapal telah berusia 30 tahun dan APMM berharap peruntukan untuk perolehan kapal baharu dapat disediakan demi memastikan Zon Maritim Malaysia sentiasa aman dan selamat," katanya.

Shahidan turut menjelaskan APMM adalah agensi keselamatan negara yang pertama tiba di lokasi penemuan tumpahan minyak yang pada awalnya disyaki milik MH370 di kawasan perairan Vietnam.

Dalam pada itu, beliau berkata sehingga kini sebanyak 121 kes tangkapan telah dilakukan APMM bagi pelbagai kesalahan dan terdapat lapan kes pencerobohan warga asing dilaporkan dan tiada kes rompakan diperairan negara berlaku.

- Bernama

ADS