Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Jika sebelum ini Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail menegaskan beliau tidak pernah bercita-cita menjadi perdana menteri, hari ini presiden PKR itu kedengaran optimis dan berpandangan bahawa setiap orang "mempunyai potensi" untuk memikul tanggungjawab itu.

Beliau berkata demikian sewaktu ditanya akan kemungkinan beliau akan menjadi perdana menteri wanita Malaysia yang pertama - seandainya 'Langkah Kajang' yang diatur PKR untuk menawan Putrajaya melalui pilihan raya kecil Kajang, menjadi kenyataan.

"Saya rasa setiap orang ada potensi," kata Wan Azizah sewaktu ditemui wartawan di bilik gerakan utama PKR selepas proses membuang undi tamat pada jam 5 petang ini.

Bagaimanapun tegasnya, khidmat kepada pengundi tetap menjadi keutamaan sekarang ini kerana keputusan bertanding dalam pilihan raya kecil Kajang kali ini adalah satu "seruan" yang perlu disahutnya.

"Saya rasakan ini adalah satu seruan," katanya.

Kenyataan itu dibuat calon PKR itu selepas ditanya jika beliau bersedia memikul tanggungjawab sebagai wakil rakyat memandangkan sebelum ini beliau pernah memberikan bayangan mahu menumpukan lebih banyak masa bersama cucu dan keluarga.

Wan Azizah berhadapan Datin Paduka Chew Mei Fun dari BN dalam pilihan raya kecil Kajang yang berakhir pada jam 5 petang tadi.

Pilihan raya kecil yang kedua selepas pilihan raya umum ke-13 ini tercetus selepas wakil rakyat sebelum ini, Lee Chin Cheh meletak jawatan untuk memberi laluan kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di situ dan seterusnya membuka laluan dan kemungkinan untuk beliau menjadi menteri besar Selangor.

Tindakan itu yang dinamakan PKR sebagai 'Langkah Kajang' bagaimana pun terbantut apabila Mahkamah Rayuan pada 7 Mac, dua hari sebelum penamaan calon, merubah keputusan Mahkamah Tinggi pada tahun 2012 dan memutuskan beliau bersalah meliwat bekas pembantunya.

Wan Azizah kemudian menggantikan Anwar sebagai calon PKR di Kajang.

ADS