Idrus Harun dilantik semula anggota Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman
Bekas peguam negara Idrus Harun dilantik semula sebagai anggota Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (SPK) bagi penggal kedua selama dua tahun, berkuat kuasa hari ini.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim turut melantik semula bekas hakim Mahkamah Persekutuan Zainun Ali dan pensyarah undang-undang Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof Dr Hartini Saripan bagi penggal kedua perkhidmatan dalam suruhanjaya itu.
Bekas peguam besar negeri Sabah Mariati Robert pula dilantik sebagai anggota baru suruhanjaya itu.
Pejabat Setiausaha SPK dalam kenyataan hari ini memaklumkan pelantikan keempat-empat individu itu dibuat mengikut subseksyen 5(1)(f) Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009.
“Pelantikan ini adalah bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa mulai 1 Nov 2026 hingga 31 Okt 2028,” menurut kenyataan itu.
Idrus, Zainun dan Hartini sebelum ini dilantik menganggotai SPK bagi tempoh dua tahun mulai 1 Nov 2024 hingga 31 Okt 2026.
Suruhanjaya itu turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada bekas peguam besar negeri Sarawak Talat Mahmood Abdul Rashid atas perkhidmatan serta sumbangannya sepanjang menganggotai SPK.
Lapor komen ini


Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.