Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Tahniah Wan Azizah, k'jaan negeri tak berubah'
Diterbitkan:  Mar 24, 2014 5:00 PM
Dikemaskini: 9:16 AM

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memberi gambaran bahawa tiada perubahan akan berlaku dalam pentadbiran kerajaan negeri selepas kejayaan presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail mempertahankan kerusi DUN Kajang.

Abdul Khalid yang menyampaikan ucapan tahniah kepada Wan Azizah berkata, kemenangan tersebut “seolah-olah memberi restu kepada kerajaan Selangor untuk terus komited dengan agenda reformasi dalam pentadbiran”.

Tegasnya, struktur pentadbiran negeri tidak akan berubah dengan kemenangan Wan Azizah dalam pilihan raya kecil yang diadakan selepas ADUN PKR sebelum itu, Lee Chin Cheh meletak jawatan.

“Meskipun keputusan Kajang tidak mengubah struktur dan mekanisme pentadbiran, mandat yang diberikan rakyat Kajang nescaya akan menjadi pemangkin kepada kerajaan Pakatan Rakyat untuk terus bekerja dengan lebih gigih tanpa mengenal penat lelah dan jemu demi kebajikan rakyat.

“Justeru, kemenangan ini seolah-olah memberi restu kepada kerajaan Selangor untuk terus komited dengan agenda reformasi dalam pentadbiran serta segala aspek sosio-ekonomi dan politik yang didukung oleh Pakatan Rakyat,” katanya.

Khalid juga berpendapat kemenangan tersebut menunjukkan keyakinan warga negeri tersebut ke atas pentadbiran yang dipimpinnya sejak 2008 itu.

“Kemenangan ini hakikatnya membuktikan bahawa rakyat Selangor secara amnya yakin dengan prinsip pentadbiran yang telus, bertanggungjawab dan penuh integriti kerajaan Pakatan Rakyat di negeri Selangor.

“Sebagai bukti, Pakatan Rakyat berjaya meningkatkan undi popular di Kajang kepada 60 peratus pada pilihan raya kecil ini berbanding 58 peratus pada pilihan raya umum pada 5 Mei 2013."

Menariknya, kenyataan Abdul Khalid hari ini juga langsung tidak mengandungi istilah “Langkah Kajang” yang diuar-uarkan oleh para pengatur strategi PKR sebagai usaha untuk mengambil alih pentadbiran Putrajaya.

Melalui “Langkah Kajang” itu, Lee meletak jawatan sebagai ADUN dan pilihan raya kecil diadakan semalam bagi memilih penggantinya.

Kerusi tersebut ditandingi Wan Azizah selepas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim disabitkan kesalahan atas tuduhan Liwat II dan dijatuhkan hukuman penjara, beberapa hari sebelum hari penamaan calon 11 Mac.

Pemerhati melihat rancangan untuk meletakkan Anwar sebagai calon pilihan raya kecil itu sebagai usaha untuk mengambil alih jawatan menteri besar dari Khalid.

Bagaimanapun, kedudukan Khalid sebagai menteri besar kini dilihat lebih kukuh kerana Wan Azizah dikatakan sebagai sekutu kuat tokoh korporat tersebut.

Sikap Wan Azizah itu dilihat berbeza dengan suaminya, Anwar, yang dikatakan sebagai penyokong kuat kepada seteru Khalid - timbalan presiden Azmin Ali.

ADS