Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Memang saya ada bank di Tanzania, apa masalah?'
Diterbitkan:  Apr 23, 2014 12:50 PM
Dikemaskini: 10:00 AM

Bekas menteri kewangan Tun Daim Zainuddin mengakui bahawa beliau memiliki sebuah bank di Tanzania namun ia tidak melibatkan sebarang penyelewengan.

Daim dalam satu laporan Utusan Malaysia berkata demikian bagi menjawab dakwaan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang antara lainnya membangkitkan mengenai wangnya yang disimpan di Tanzania.

"Dia (Anwar) ketika itu berjumpa dengan presiden Tanzania dalam sesi pelaburan dan bertanya tentang aset saya. Presiden itu berkata, memang saya ada bank di Tanzania, jadi apa masalahnya?

"Anwar lepas dibuang daripada parti, semua dia kata tak betul, jadi apa yang dibuat masa dalam parti? Anwar ini kaki goreng," kata Daim seperti dipetik dalam laporan Utusan.

Menurut Daim lagi, Anwar pernah menjalankan siasatan ke atasnya ketika ketua pembangkang itu berada dalam Kabinet semasa pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad selaku perdana menteri pada waktu itu.

Apa Anwar buat?

"Siasatan berdasarkan salinan surat-surat yang saya serahkan padanya. Tetapi, dia potong nama saya, dan dia kata memperoleh surat itu sendiri. Saya telah dua kali disiasat tentang pemilikan aset.

"Masa tu dia (Anwar) menteri kewangan dan juga pengerusi tentang rasuah. Kenapa tak ambil tindakan? Lepas kena buang daripada parti Umno, semua dia kata tak betul," kata Daim lagi dalam laporan tersebut.

Anwar dalam laporan Keadilan Daily pada hari Isnin lalu berkata beliau mengesyaki bahawa Daim melakukan salah guna kuasa melalui penubuhan bank tersebut.

Anwar juga mendakwa mengetahui mengenai penubuhan bank di Tanzania itu melalui seorang gabenor bank negara tersebut, yang tidak dinamakan dalam laporan berkenaan.

“Saya pergi ke Tanzania dijemput jumpa Presiden, Menteri Kewangan dan gabenor bank negara Tanzania.

“Gabenor kata Tun Daim punya bank ada sini (Tanzania). (Gabenor) kata Daim simpan di International Bank of Malaysia.

“Saya tanya (Daim) buat apa. Kemudian gabenor jawab Daim tidak buat apa-apa. Daim simpan duit sahaja.

Ada sebarang operasi? Tidak, ini bank ‘istimewa’. Kemudian saya berkata kepada gabenor bank negara Tanzania, kamu tahu tak ini tidak cara yang sepatutnya.

“Duit dari mana? Daim ambil dari Malaysia, simpan di sini,” kata Anwar menceritakan kandungan  pertemuannya,” lapor Keadilan Daily, memetik kenyataan Anwar.

Anwar seterusnya membangkitkan mengenai penahanan seorang individu, didakwa terlibat dengan ban tersebut, dalam satu kejadian didakwa di Lapangan Terbang Heathrow, London.

ADS