Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

TELUK INTAN Selepas 10 hari berkempen, PAS positif mampu mengekalkan undi Melayu buat DAP dalam pilihan raya kecil Parlimen Teluk Intan.

"Kami berhasrat untuk mempertahankan jumlah undi Melayu yang diperolehi DAP (dalam pilihan raya umum lalu)," kata Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar dalam sidang media petang ini.

Kenyataan tersebut dikupas oleh Naib Presiden PAS, Datuk Salahuddin Ayub yang menjelaskan bahawa kempen PAS bertumpu kepada pengundi setia Pakatan Rakyat.

Menurutnya, pengundi Melayu yang tegar mengundi BN dan tidak faham akan dinamik parti-parti dalam Pakatan Rakyat tidak menjadi kumpulan sasaran kempen mereka.

"Pada golongan ini mereka akan jawab (jika DAP menang) tak ada Yang di-Pertuan Agong, nanti kalau DAP perintah, agama Islam terabai dan sebagainya.

"Saya rasa kelompok-kelompok ini PAS tak nak buang masa nak layan, dan kita lupakan sahaja.

"Kalau PAS boleh kekal dengan undi yang kita dapat pada PRU 13 itu dah cukup baik," katanya yang bertindak sebagai pengarah induk jentera PAS untuk pilihan raya kecil Teluk Intan.

Ditanya tentang cara PAS menjelaskan penolakan hudud oleh calon DAP Dyana Sofya, kepada pengundi setianya, Mahfuz berkata mereka faham pendapat itu dibuat DAP dalam "ruang demokrasi" yang diraikan Pakatan.

Jelasnya, ia berbeza dengan Gerakan yang didakwanya berhasrat untuk mengheret PAS ke mahkamah bagi menghalang pelaksanaan hudud.

Bagi Salahuddin pula, pengundi-pengundi setia PAS terdiri daripada golongan berpendidikan yang faham bahawa Pakatan Rakyat didirikan atas prinsip kebersamaan parti-parti di dalamnya.

Menurutnya, mereka faham dan maklum bahawa DAP tidak berkongsi sentimen yang sama dengan PAS tentang hudud.

'Dalam masyarakat yang mungkin 'well educated' (berpendidikan), isu itu (perbezaan pendirian hudud) tak berbangkit.

"Kita masih lagi dalam Pakatan Rakyat, dan kita setuju tubuh Pakatan Rakyat atas isu-isu good governance (urustadbir yang baik) dan transparency (ketelusan)," katanya.

ADS