Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Zam: Syed Ali umpama 'ular air'
Diterbitkan:  Jun 26, 2014 3:28 PM
Dikemaskini: 9:31 AM

Bekas menteri penerangan Datuk Seri Zainuddin Maidin menangkis tuduhan ketua Umno bahagian Cheras Datuk Seri Syed Ali Alhabshee bahawa beliau "makan duit rakyat" ketika menyertai Kabinet.

Zainuddin menganggap tuduhan tersebut sebagai tidak berasas dan mengumpamakannya sebagai ular air – sejenis ular yang tidak berbisa.

"Menuduh saya memakan duit masa jadi menteri meletakkan   ketua Umno bahagian Cheras setaraf  dengan cakap-cakap 'ular air' tepi jalan," katanya.

Ia bagi menjawab tuduhan Syed Ali yang membandingkan amalan "memakan duit" itu dengan satu acara anjuran bahagiannya yang dikritik oleh Zainuddin.

Beliau juga berkata Syed Ali tidak memahami kritikannya berhubung imej bangsawan para pemimpin parti itu yang menyebabkan ia ditolak oleh rakyat.

Katanya, tulisannya semalam mengkritik budaya di kalangan pemimpin Umno yang sering bermegah dengan imej bangsawan, malah dengan songket mahal.

"Saya tidak mengatakan songket yang dipakai oleh mereka pada majlis itu berharga antara RM5,000 hingga RM 30,000 tetapi biasanya pertandingan memakai songket mahal ini berlaku di Perhimpunan Agung Umno.

"Semua ini diketahui oleh ahli Umno yang memperkatakannya antara mereka. Ini tidak penting tetapi pameran imej kepada rakyat di majlis itu  yang menimbulkan persepsi salah," katanya.

Tulisannya semalam menimbulkan kemarahan Syed Ali yang menjelaskan songkat yang dipakai dalam acara majlis ulang tahun ke-20 Umno Cheras itu hanyalah dari jenis murah.

"Bagi saya, saya tak pakai duit rakyat maka orang tak boleh pertikailah. Dia (Zam) pernah jadi menteri, dialah yang pernah pakai duit rakyat," katanya semalam.

Beliau juga berkata, acara amal dihadiri perdana menteri itu tidak menggunakan wang rakyat dan berjaya meraih sumbangan RM500,000 untuk warga ibu tunggal dan anak yatim.

ADS