Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Pengemis tinggal di hotel kerana makanan percuma'
Diterbitkan:  Jul 3, 2014 4:44 PM
Dikemaskini: 9:26 AM

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Mansor menyalahkan kegiatan NGO yang memberi makanan percuma yang menyebabkan golongan pengemis tersebut terus menjalankan aktiviti tersebut.

Laporan laman Astro Awani menyebut, beliau mendakwa, terdapat juga golongan pengemis yang mengambil kesempatan ke atas makanan percuma tersebut sehingga mampu tinggal di hotel.

“Mereka jadi malas untuk bekerja kerana ada pihak yang memberi makan percuma.

"Kami sudah carikan mereka peluang pekerjaan tetapi mereka bekerja dua tiga hari tetapi selepas itu kembali menjadi gelandangan dan pengemis kerana ada yang bagi makan percuma.

“Ada pengemis yang masih muda dan tinggal di hotel seperti di Hotel Federal di Bukit Bintang, makan diberi percuma oleh NGO ini.

“Pengemis ini pula bukan hanya orang tempatan tetapi ada juga warga asing yang turut melakukan perkara sama, mereka ini juga mengambil kesempatan,” katanya seperti dipetik dalam laporan tersebut.

Dalam laporan itu, Tengku Adnan tidak mengemukakan sebarang bukti untuk menyokong dakwaan tersebut.

Beliau seterusnya mendakwa, kegiatan memberi makan kepada golongan itu juga menyebabkan kawasan sekitar Kuala Lumpur menjadi kotor.

“Ini kawasan tumpuan pelancongan, saya tidak mahu kawasan ini jadi kotor, banyak tikus, ada surat khabar luar negara labelkan Kuala Lumpur sebagai Bandaraya Tikus,” katanya lagi.

Menurutnya lagi, kegiatan tersebut masih boleh dijalankan di luar had lingkungan dua kilometer dari simpang utama di hadapan pusat membeli belah Lot 10, Bukit Bintang.

"Kalau NGO ini mahu memberi makan percuma, mereka boleh beri di luar kawasan tersebut, mereka boleh buat bersama surau atau kuil, dalam premis," katanya yang menambah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur akan mengenalpasti lokasi agihan makanan yang sesuai.

Beliau menjawab kritikan yang mendakwa beliau tidak faham hukum memberi sedekah.

Kritikan itu timbul susulan kenyataannya yang mengumumkan kerajaan akan menghukum pemberi dan peminta sedekah.

ADS