Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Militan: PAS pecat tiga lagi ahlinya
Diterbitkan:  Jul 14, 2014 6:14 PM
Dikemaskini: 10:19 AM

PAS memecat tiga lagi ahlinya yang dikaitkan dengan kumpulan militan seperti dilapor media dan semakan parti itu mendapati mereka adalah ahli PAS di peringkat kawasan, kata Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali.

Beliau berkata mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat semalam memecat pensyarah Universiti Malaya (UM) Dr Mahmud Ahmad, kakitangan Majlis Perbandaran Selayang Muhammad Joraimee Awang Raimee dan pemilik kedai fotostat dan alat tulis di UM Mohd Najib Husen berhubung perkara itu, lapor Harakahdaily hari ini.

Sebelum ini, PAS memecat keahlian Lotfi Ariffin kerana menyertai gerakan bersenjata di Syria.

"Oleh kerana kenyataan Presiden (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) sebelum ini menyatakan sesiapa yang terlibat dengan gerakan selain gerakan aman "muajahah silmiyah" ini, kita akan pecat mereka ini.

"Oleh itu jawatankuasa PAS Pusat semalam membuat keputusan, ketiga-tiga mereka dipecat daripada PAS," katanya seperti dilapor portal berita itu.

Laporan itu juga menyebut, Mustafa berkata pihak turut melakukan siasatan dengan bertemu sumber rapat yang mengenali latar belakang bagi mendapat kepastian berhubung dakwaan penglibatan mereka dengan kumpulan militan.

Menurutnya hasil siasatan mendapat ketiga-tiga suspek itu sememangnya ada terlibat dengan misi kemanusiaan di Mindanao, Filipina tetapi sumber tidak boleh mengesahkan secara muktamad keterlibatan mereka dengan militan.

"Sebab mereka semua ini tidak berada dalam negara dan tidak dapat dihubungi. Atas sifat tidak ada dalam negara, saya tidak boleh nak buat pengesahan sama ada mereka terlibat atau tidak," katanya.

Ditanya bagaimana PAS membuat keputusan dalam keadaan tidak mengetahui keterlibatan sebenar mereka, Mustafa berkata keputusan itu dibuat kerana wujud unsur keraguan.

"Walaupun aktiviti sebenar secara muktamadnya tidak dapat kita pastikan, tapi maknanya ada keraguan yang boleh dikaitkan.

"Tetapi demi jaga kepentingan jamaah dan parti, jadi kita ambil keputusan seperti mana yang ditegaskan oleh presiden sebelum ini," katanya sambil menambah ketiga-tiga itu boleh membuat rayuan dengan mengemukan bukti bagi membersihkan tuduhan.

ADS