Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PAS tak halang DAP S'wak berpecah, tapi...
Diterbitkan:  Jul 21, 2014 4:00 PM
Dikemaskini: 9:01 AM

PAS Sarawak tidak menghalang sekiranya DAP negeri mahu keluar daripada Pakatan Rakyat ekoran pertikaian pelaksanaan hudud di Kelantan.

Bagaimanapun pesuruhjayanya Adam Ahid mengingatkan pemimpin DAP Sarawak berfikir secara rasional kerana tindakan tidak bijak akan membinasakan mereka.

"PAS tidak akan menghalang jika ia untuk kepentingan DAP Sarawak. Namun PAS ingin menegaskan bahawa setiap langkah yang tidak bijak akan membinasakan sesebuah organisasi.

“PAS tetap akan memberi kerjasama dengan rakan Pakatan lain sekiranya mereka masih memerlukan PAS," kata beliau dalam kenyataannya hari ini.

Semalam, DAP Sarawak dilaporkan membuat resolusi mengancam menarik diri daripada Pakatan negeri selagi PAS tidak menarik balik tuntutan mengadakan hudud di Kelantan.

DAP Sarawak meluahkan kekesalan mendalam kepada perbuatan berdiam diri PKR terhadap hasrat PAS itu.

Beliau mengulangi pendirian PAS bahawa Kanun Jenayah Syariah 1993 (Hukum Hudud) hanya akan dilaksanakan di Kelantan, bukannya di Sarawak dan berharap masalah ini diselesaikan secara perbincangan.

"Dari segi demokrasi untuk mewujudkan undang-undang hudud dalam Sarawak perlukan dua pertiga undi ADUN untuk pinda undang-undang tubuh Sarawak.

"Kerajaan Kelantan termaktub kepada keputusan kerajaan negerinya untuk melaksanakan kanun jenayah syariah dan DAP Sarawak tidak berhak menyoal keputusan kerajaan negeri lain," jelasnya.

Adam turut menyatakan betapa PAS Sarawak mengikut pendirian PAS dan tidak akan mengkhianati buku Jingga dan prinsip bersama yang dipersetujui rakan dalam Pakatan sebagai janji “setiakawan”.

"PAS Sarawak sedar sokongan rakyat kepada mereka semakin meningkat malah majoriti undi adalah daripada bukan Muslim. Apakah ini juga membuktikan agenda PAS selama ini ditolak oleh rakyat?" kata beliau.

Lihat Komen
ADS