Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Satu laporan dibuat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) oleh kumpulan penyokong Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim supaya menyiasat dakwaan mengenai salah laku integriti beliau seperti yang didakwa partinya PKR.

Permintaan itu terkandung dalam laporan yang dibuat oleh ketua setiausaha sulit beliau, Mohamad Yazid Bidin di pejabat SPRM Shah Alam petang ini.

Mohamad Yazid turut menyerahkan kepada SPRM dokumen yang dikemukakan oleh Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

Katanya, mereka meminta SPRM membuat siasatan tersebut bagi memastikan sama ada dakwaan terhadap Khalid itu betul atau sebaliknya.

Difahamkan, ia bertujuan untuk membersihkan nama Khalid daripada dakwaan salahlaku tersebut.

Turut kelihatan ialah kedua-dua setiausaha politiknya Mustapha Mohd Talib dan Azman Abidin, bekas senator Syed Shahrir Syed Mohamud, calon ketua pemuda AMK Khairul Anwar Zainuddin serta beberapa lagi kakitangan dan beberapa ahli PKR.

"Kerana sekarang menteri besar yakin beliau tidak melakukan kesalahan, jadi saya rasa isu ini perlu diselesaikan oleh SPRM ,"kata Yazid kepada wartawan.

Semalam satu dokumen penjelasan 91 halaman kepada PAS dengan salinan kepada DAP, yang dikumpulkan oleh Saifuddin menyatakan PKR antaranya memaklumkan terdapat "keraguan munasabah" dalam isu penyelesaian hutang RM59.5 juta itu.

Dokumen itu membangkitkan bagaimana rundingan penyelesaian tuntutan hutang luar mahkamah dipercepat selepas PKR mengumumkan Langkah Kajang pada 28 Januari lalu.

Dalam bentuk kronologi, dokumen itu juga memperincikan kes itu bermula keputusan mahkamah dan persoalan integritinya selepas pelupusan hutangnya secara mengejut.

Khalid sebelum ini mencabar Saifuddin untuk membuat laporan kepada Polis, SPRM dan Bank Negara sekiranya beliau melanggar undang-undang.

Lihat Komen
ADS