Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Exco Selangor dari PAS Sallehen Mukhyi menegaskan beliau dan tiga lagi exco dari PAS tidak pasti berapa lama mereka terus kekal sebagai exco dalam pentadbiran negeri.

ADUN Sabak itu berkata, mereka kini memilih kekal sebagai exco berdasarkan ketetapan PAS yang menyokong pentadbiran Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim.

"Kita (kekal) sehingga bila tak tahu - boleh jadi sehingga habis penggal iaitu pada pilihan raya umum akan datang atau sehingga parti minta kita berhenti," katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu ditemui wartawan di lobi bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri tengahari tadi.

Menurutnya, tindakan mereka kekal dalam kerajaan Selangor juga tiada kena mengena dengan faktor sama ada mereka menyokong Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim atau tidak.

"Bagi kita soal Khalid bukan faktor. Bila parti minta untuk terus bekerja maka kita bekerja," katanya.

Menurutnya lagi, mereka meneruskan tugas sehingga Jawatankuasa PAS Pusat bermesyuarat dan menetapkan pendirian berhubung krisis di Selangor pada 17 Ogos ini.

"Apa-apa pun ia bergantung kepada keputusan pada 17 haribulan ini," katanya.

Sallehen adalah satu daripada empat orang exco PAS yang memilih untuk kekal dalam pentadbiran Selangor selepas Khalid dipecat dari PKR.

Lihat Komen
ADS