Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Walaupun Unit Amal PAS berdepan dengan tindakan dari Kementerian Dalam Negeri, namun pasukan sukarelawan itu tetap tampil membantu polis untuk menjaga keselamatan orang ramai dari kes ragut dan jenayah.

ADUN Chempaka, Iskandar Samad mengumumkan yang anggota Unit Amal PAS Pandan akan melakukan rondaan di kawasan stesen LRT Pandan Indah, bermula jam 8 malam ini.

Yang dipertua PAS Pandan itu berkata inisiatif itu dibuat selepas dilaporkan insiden seorang gadis ditetak di bahu dan lengan di tempat yang sama pada 28 Ogos yang lalu.

"PAS Pandan yakin anggota-anggota Unit Amal boleh membantu pihak polis menjalankan tugas mereka dan meningkatkan keselamatan di kawasan tersebut," kata Iskandar.

Dalam kenyataannya, beliau yang juga pesuruhjaya PAS Selangor berkata beliau sendiri akan turun melakukan rondaan bersama Unit Amal malam ini.

Sebelum ini Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau "yakin" polis akan bertindak terhadap Unit Amal ekoran penahanan 156 anggota Unit Peronda Sukarela Pulau Pinang (PPS) Ahad lalu.

Tangkapan itu dibuat atas dakwaan PPS itu tidak didaftarkan dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

PAS bagaimana pun membantah kenyataan Zahid itu dan menegaskan yang Unit Amal yang diwujudkan sejak 23 tahun lalu telah berdaftar bawah Pemuda PAS dan mengikut perlembagaan parti.

Ketika ditemui Malaysiakini di Shah Alam petang ini, Iskandar yakin polis tiada masalah untuk bekerjasama dengan Unit Amal itu yang mahu meronda di stesen LRT itu.

Menurutnya, Unit Amal merupakan organisasi sah dan mereka mahu membuat kebaikan dan tidak akan memberi masalah kepada pihak berkuasa.

"Saya rasa tidak ada masalah (untuk rondaan unit Amal) kerana kita nak cegah jenayah, bukan nak buat jenayah.

"Unit amal pasukan berdaftar di bawah (Dewan Pemuda) PAS. Mereka tidak harus halang kebaikan berlaku," katanya.

Lihat Komen
ADS