Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PAS Melaka: Keputusan parti tak dituruti
Diterbitkan:  Sep 6, 2014 1:22 PM
Dikemaskini: 11:25 AM

Pesuruhjaya PAS Melaka Adly Zahari menyelar tindakan partinya yang membelakangkan keputusan anggota Jawatankuasa PAS Pusat dalam pencalonan menteri besar Selangor.

Beliau menjadi pemimpin PAS kanan pertama yang membuat kritikan secara terbuka dalam hal itu.

"Saya merasa terkilan dan amat bersimpati kepada AJK PAS pusat yang dipinggirkan dalam membuat keputusan berhubung kedudukan MB Selangor," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau merujuk kepada penglibatan Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam usaha golongan tertentu dalam PAS untuk menyerahkan dua nama ADUN PKR dan satu nama ADUN PAS untuk jawatan itu.

Malaysiakini sebelum ini dimaklumkan bahawa nama Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan Azmin Ali tiada dalam senarai itu.

Tindakan itu bertentangan dengan keputusan AJK PAS Pusat pada 17 Ogos lalu yang memutuskan untuk mencalonkan nama Wan Azizah dan Azmin sahaja.

Majlis Syura PAS mengaku bertanggungjawab dalam memutuskan nama calon PAS sahaja untuk pertimbangan istana.

Adly memberi amaran bahawa langkah itu akan menjejaskan sokongan rakyat kepada PAS.

"PAS Melaka merasakan tindakan itu menghilangkan kepercayaan umum rakyat kepada PAS.

"Imej PAS sebagai gerakan siasah yang memperjuangkan Islam juga akan tercalar," katanya lagi.

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor, Sallehen Mukhyi mengelak daripada mengulas kenyataan Adly.

"Keputusan terakhir (siapa menjadi MB) PAS serahkan kepada budi bicara Tuanku.

"Saya fikir siapa pun nama yang akan naik itu adalah pilihan," katanya sewaktu ditemui pemberita di Shah Alam pagi ini.

Tegas Sallehen, sesiapa sahaja yang dipilih nanti perlu mendapat persetujuan dari ketiga-tiga parti dalam Pakatan.

Beliau juga menolak spekulasi bahawa krisis ini akan memecah-belahkan Pakatan Rakyat.

Lihat Komen
ADS