Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hadi tak rujuk PKR, DAP kerana 'khianat'
Diterbitkan:  Sep 10, 2014 12:38 PM
Dikemaskini: 6:20 AM

Ahli jawatankuasa pusat PAS Nik Abduh Nik Abdul Aziz berkata presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang terpaksa mengambil tindakan tanpa berunding dengan PKR dan DAP ekoran pengkhianatan yang dilakukan ke atas partinya.

Nik Abduh, yang juga anak kepada mursyidul am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata pengkhianatan tersebut melibatkan tindakan dua ADUN PAS Selangor memberi sokongan kepada PKR.

“Dua pengkhianat daripada ADUN PAS yang melompat memberi sokongan kepada PKR. Ia memulakan kerosakan kepada kestabilan dalaman PAS.

“Pengkhianatan PKR terhadap setiakawan dengan PAS dalam (Pakatan Rakyat) apabila menerima pengkhianatan dua ADUN PAS dengan mengiktiraf sokongan mereka kepada PKR.

“Sebagaimana dua ADUN itu memutuskan wala' dan kesetiaan kepada presiden, begitu juga PKR telah memutuskan setiakawan dengan PAS,” katanya.

Ia merujuk kepada tindakan ADUN PAS Hulu Kelang Saari Sungib dan Hasnul Baharuddin (Morib) yang menandatangani pengakuan berkanun bagi menyokong keputusan PKR.

PKR dan DAP sebelum ini bertegas dengan keputusan mencalonkan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai menteri besar.

Menurut Nik Abduh lagi, Hadi telah bertolak ansur dengan PKR dan DAP ke tahap "toleransi yang tertinggi".

Tegasnya, jika ia tidak disambut baik oleh PKR dan DAP, Hadi mungkin tidak akan melibatkan PKR dan DAP lagi dalam sebarang rundingan.

"Saksikan..presiden (akan) putuskan bahawa PKR dan DAP tidak perlu lagi diajak berunding.. no more (tidak rundingan lagi).

"Presiden (akan) putuskan untuk menangani isu dalaman PAS dengan caranya sendiri...juga, no more (tiada rundingan lagi)," katanya dalam tulisan di laman Facebook beliau.

Sewaktu dihubungi Malaysiakini untuk menjelaskan maksud kata-katanya itu, Nik Abduh menafikan ia bermaksud PAS akan keluar dari Pakatan Rakyat.

"Ini bukan keluar Pakatan Rakyat tetapi satu isyarat bagi saya bahawa beliau kesal dengan tindakan Pakatan yang kurang mesra dalam menangani isu ini dengan baik.

"Jika Pakatan bertindak kembali kepada asas menghormati hak PAS dan istana untuk menolak Wan Azizah, keadaan mungkin kembali pulih.

"Saya tak fikir (wujud) soal keluar Pakatan, itu masih di luar pertimbangan," katanya kepada Malaysiakini .

Lihat Komen
ADS