Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Presiden Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) Phahrolrazi Mat Zawawi mengakui terdapat suara yang mahu Presiden PAS Datuk Seri Hadi Awang disingkirkan dalam pertemuan NGO itu pada 31 Ogos lalu di Kota Bharu.

Bagaimanapun, katanya, ia pandangan peribadi anggota PAS tertentu dan bukan pendirian rasmi PasMa.

“Saya tak menafikan yang disampaikan oleh peserta-peserta. Apabila mereka bangun berucap, macam-macam cadangan dan kritikan keluar sebab memang PasMa menjadi satu wacana untuk penyokong Pakatan Rakyat memberi pendapat, kritikan dan sebagainya.

"Tapi kita bukan nak menentukan satu ketetapan. Kita beri pandangan, sama ada mereka setuju tak setuju dengan sesiapa pimpinan Pakatan, itu terpulang kepada mereka,” katanya.

Beliau merujuk kepada dakwaan anggota jawatankuasa pusat PAS Nasrudin Hassan bahawa PasMa bertujuan menjatuhkan kepimpinan Hadi.

Menulis di laman Facebook semalam, anggota parlimen Temerloh itu mendakwa, pertemuan PasMa pada 31 Ogos lalu di Kota Bharu menunjukkan perancangan sebenarnya mahu menukar presiden.

Bercakap kepada Malaysiakini hari ini, Phahrolrazi juga berkata, tidak timbul soal tuduhan itu kerana naik turun seseorang pemimpin ditentukan oleh perwakilan parti dalam persidangan tahunannya.

Sementara itu, ditanya sama PasMa menerima kritikan pada Hadi, beliau berkata, mereka hanya menyediakan wacana sahaja dan menegaskan ia pandangan penyokong Pakatan dalam berdepan kemelut sedia ada.

“Kita dengarlah pandangan itu dan pimpinan parti ini (PAS) patut dengar dan hadir sebenarnya program PasMa ini, (tetapi) mereka tak nak hadir,” katanya yang mengecualikan seorang anggota jawatankuasa pusat PAS.

'PAS Terengganu yang rugi'

Sementara itu, ditanya tentang larangan PAS Terengganu supaya anggotanya tidak menyertai NGO itu, Phahrolrazi berkata mereka tiada masalah dengan perkembangan itu.

“Tapi PAS Terengganu rugilah, sebab mereka tak ambil kesempatan dengan peranan PasMa ini untuk mendekati penyokong-penyokong,” katanya.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS