Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

PAS akan merahsiakan terlebih dahulu lokasi ceramah perdananya bagi kempen pilihan raya kecil DUN Pengkalan Kubor yang akan dirancang akan diadakan pada 23 September depan.

Pengarah jentera PAS, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah berkata, lokasi itu hanya akan diumumkan sehari sebelum ceramah bagi mengelakkan “gangguan” dari BN.

"Lokasi ceramah rahsia. Sebab kita tak mahu nanti ceramah kita diganggu.

"Macam sebelum ini, kalau kita beritahu lokasi ceramah, nanti mereka ini akan buat ceramah di sebelah kita. Kemudian pihak polis suruh dua-dua ceramah berhenti.

"Jadi kita tak mahu perkara seperti itu berlaku," katanya dalam sidang media di markas besar PAS DUN Pengkalan Kubor.

Ia bakal menjadi program ceramah PAS paling besar sepanjang kempen 12 hari ini – yang dilihat agak hambar berbanding kempen pilihan raya kecil lain sebelum ini.

Setakat hari ini, calon PAS, Wan Rosdi Wan Ibrahim diperhatikan lebih banyak memenuhkan jadual hariannya dengan membuat kunjungan ramah mesra dengan pengundi dan hanya muncul di beberapa ceramah kelompok.

Sekiranya jumlah pengunjung dijadikan pengukur, acara PAS bersama Wan Rosdi itu tidak dapat menandingi acara anjuran BN yang lebih meriah dengan kelengkapan pentas mini dan program hiburan dikir barat.

Para pemimpin utama Pakatan Rakyat juga masih belum menunjukkan muka selepas hari penamaan calon pada hari Sabtu lalu.

Pilihan raya kecil ini diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Noor Zahidi Omar, 57, akibat kanser hati di sebuah hospital di Guangzhou, China, pada 20 Ogos lepas.

Pada pilihan raya umum 2013, Noor Zahidi yang mewakili BN mengalahkan calon PKR Saharun Ibrahim dan calon Bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary dengan majoriti 1,736 undi.

Izat bertanding sekali lagi sebagai calon Bebas dalam pilihan raya kecil kali ini.

 

Lihat Komen
ADS