Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Sultan Selangor telah berkenan melantik Timbalan presiden PKR Azmin Ali sebagai menteri besar yang baru berkuatkuasa esok.

Majlis angkat sumpah akan berlangsung di Istana Alam Shah, Klang jam 10.30 pagi esok.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani, ketika dihubungi Malaysiakini, mengesahkan surat pelantikan itu telah dihantar kepada Azmin hari ini.

Sementara itu, Munir dipetik oleh Bernam a sebagai berkata pihak Istana Selangor akan keluarkan kenyataan akhbar esok bagi memberi penjelasan mengapa Azmin dipilih sebagai menteri besar Selangor yang baru.

Ketika ditanya mengenai surat pelantikan itu yang tersebar di media

sosial, Mohamad Munir berkata perkara itu berada di luar kawalan pihaknya.

Azmin akan menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang tamat perkhidmatan sebagai menteri besar hari ini.

Petang tadi, Khalid diraikan dalam majlis perpisahan yang dihadiri lebih 200 kakitangan.

Azmin kemudiannya pemberita bahawa pelantikannya sebagai menteri besar Selangor mendapat restu sebulat suara parti.

Ini sekaligus melabuhkan tabir krisis pelantikan menteri besar Selangor.

Azmin mengesahkan kepada pemberita di ibu pejabat PKR di Tropicana bahawa kepimpinan parti itu telah bersetuju untuk menyokong beliau sebagai MB selepas bermesyuarat dua jam dengan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, presiden parti Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan pemimpin parti lain.

Katanya, beliau bersyukur bahawa baginda sultan telah memperkenan pelantikannya sebagai menteri besar dan pihak parti telah sebulat suara merestuinya.

Apabila ditanya sama ada dia tahu sebab mengpa pencalonan Wan Azizah ditolak, Azmin hanya berkata: "Tiada sebab diberikan."

Surat pelantikannya diterima petang ini dan ADUN Bukit Antarabangsa itu mengesahkan beliau akan mengangkat sumpah-pagi esok.

Sebelum itu, mesyuarat Azmin dengan Anwar dan Wan Azizah selesai pada kira-kira jam 7.30 malam.

Anwar dan Wan Azizah meninggalkan ibu pejabat untuk menghadiri mesyuarat Majlis Kepimpinan Pakatan Rakyat di ibu pejabat DAP di Kuala Lumpur.

Ketiga-tiga mereka tersenyum ketika mereka keluar dari bilik mesyuarat.

DAP kemudiannya berkata kesemua 15 ADUN parti itu di Selangor telah diarahkan menyokong pelantikan Azmin.

Parti itu juga menghormati keputusan Wan Azizah untuk menarik balik pencalonan beliau.

Sebelum ini, semua ADUN DAP dan PKR, ditambah dua ADUN PAS, menyokong Wan Azizah sebagai menteri besar.

Sementara itu, PAS mengucapkan tahniah kepada Azmin Ali ekoran pelantikannya sebagai menteri besar Selangor yang baru.

Menulis dalam facebook, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata semoga Pakatan Rakyat terus utuh.

Lihat Komen
ADS