Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Dewan Rakyat kembali bersidang pada 7 Oktober 2014.

Selain belanjawan tahunan yang menjadi fokus seluruh negara, beberapa rang undang-undang (RUU) yang mungkin dibentangkan untuk bacaan kali pertama juga bakal menjadi tumpuan.

Awal Ogos lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mah Siew Keong, yang dipertanggungjawabkan untuk menyelia Perbadanan Tenaga Nuklear Malaysia (MNPC) mengeluarkan kenyataan bahawa RUU Kawal Selia Tenaga Atom, yang kini masih berada di peringkat draf, memberi penekanan terhadap aspek keselamatan penggunaan tenaga atom.

Ini, katanya, selaras dengan garis panduan yang ditetapkan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) yang dijangka dibentang di parlimen hujung tahun ini.

Lebih awal lagi pada Julai lalu, beliau juga menyatakan bahawa pemerintah bakal menjalankan kajian kebolehlaksanaan berhubung cadangan membina loji tenaga nuklear dalam tempoh 10 tahun.

Kajian komprehensif yang merangkumi aspek penerimaan masyarakat, input daripada pakar dan pertubuhan bukan kerajaan itu akan dibentangkan kepada kabinet selepas laporan berkenaan siap.

Kenyataan-kenyataan tersebut begitu jelas menunjukkan niat pemerintah untuk membina loji janakuasa tenaga nuklear dan menjadikan tenaga itu sebagai sumber alternatif di negara kecil ini.

Perkara ini jelas biarpun dunia menyaksikan krisis melanda beberapa loji janakuasa nuklear, termasuk insiden letupan di Marcoule, Perancis dan Fukushima Daichii di Jepun pada tahun 2011.

Letupan itu cukup bagi membunyikan penggera terhadap keselamatan kemudahan penjanaan tenaga nuklear.

Sebelum tercetusnya krisis-krisis di loji janakuasa tenaga nuklear seperti di atas, pemerintah pada Disember 2010 dilapor bercadang membina dua buah loji nuklear bagi memenuhi permintaan tenaga yang semakin meningkat.

Sebuah loji dirancang dibina menjelang tahun 2021 dan loji kedua setahun kemudian. Di samping itu, pemerintah juga menyatakan, lapan lokasi di Semenanjung Malaysia dikenalpasti bagi pembinaan itu.

Menurut Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia ketika itu Datuk Dr Daud Mohamad, lapan lokasi itu bagaimanapun masih dalam kajian untuk dipilih sebelum diumumkan.

Antara kriteria bagi kawasan yang bersesuaian termasuklah berhampiran sumber air, mempunyai struktur tanah yang berbatu keras dan kawasan tidak mudah banjir.

Sekiranya kawasan terpilih itu mempunyai penduduk, maka mereka akan dipindahkan. Manakala kawasan sudah dibangunkan turut akan dipindah.

Pengamatan badan pemikir Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) mendapati, wujud sikap ketidaksanggupan pemerintah untuk mengambil iktibar daripada pengalaman negara-negara lain yang jauh lebih maju, sama ada daripada segi ekonomi mahupun teknologi.

Lebih membimbangkan, rakyat Malaysia banyak kali menyaksikan tragedi akibat kecuaian dan kelalaian dalam projek pembinaan, misalnya runtuhan bumbung stadium, siling hospital, malahan lebuh raya.

Baru-baru ini, kemalangan di tapak projek Mass Rapid Transit (MRT), yang mana runtuhan landasan konkrit MRT meragut tiga nyawa pekerja berbangsa Bangladesh.

Adakah negara ini berkemampuan menangani malang tidak berbau sedemikian sekiranya berlakunya ketidaktentuan di loji reaktor nuklear.

Ia boleh disebabkan oleh retakan dinding, mendapan tanah ataupun runtuhan bumbung, seperti yang berlaku dalam projek-projek bawah pengendalian dan pemantauan pemerintah?

Kekeliruan fakta

Kebergantungan kepada arang batu sebagai sumber penjanaan elektrik yang semakin meningkat, merupakan faktor tenaga nuklear dijadikan pilihan sumber tenaga mampan dijadikan alasan.

Ia bagaimanapun kurang meyakinkan bagi merasionalisasikan keperluan pembinaan loji janakuasa tenaga nuklear di negara ini.

Menurut jawapan bertulis di parlimen pada 20 Jun 2012 berhubung pecahan penggunaan bahan api untuk penjanaan elektrik, menteri tenaga, teknologi hijau dan air menjelaskan, sebanyak 44.7 peratus menggunakan arang batu, 42.5 peratus berasaskan gas, 3.7 peratus berasaskan minyak, 3.4 peratus berasaskan bahan api sulingan dan 5.7 peratus berasaskan hidro.

Menteri memaklumkan, menjelang 2020, dianggarkan sebanyak 60 peratus bekalan elektrik akan dijana daripada sumber arang batu, 23 peratus gas, 15 peratus hidro dan 2 peratus daripada sumber tenaga boleh diperbaharui.

Bagaimanapun, kajian dan penelitian KPRU mendapati jawapan itu berbeza dengan laporan analisis Pentadbiran Informasi Tenaga Amerika Syarikat (EIA) yang dikemas kini pada September 2013 mengenai penjanaan elektrik dan kapasiti di Malaysia.

Laporan tersebut menunjukkan bahawa sebahagian besar kapasiti penjanaan tenaga bergantung pada gas asli.

Ia bagaimanapun turut memberi penekanan bahawa kekurangan gas asli di Semenanjung Malaysia dan peningkatan permintaan elektrik kebelakangan ini merangsang penggunaan bahan api lain, tetapi gas asli masih penyumbang terbesar dalam penjanaan tenaga elektrik.

Kapasiti penjanaan elektrik di Malaysia pada 2012 yang disediakan EIA menunjukkan arang batu dan gas asli menyumbang hampir 90 peratus daripada jumlah kapasiti tenaga yang dijana di Malaysia.

Gas asli mencakupi kira-kira 51 peratus daripada jumlah bekalan tenaga pada tahun 2012 (menurut data PFC Energy) dan 43 peratus pada tahun 2011 (menurut data TNB).

Justeru, menteri tenaga perlu memberi penjelasan dan membekalkan data secara transparensi berhubung penggunaan bahan api untuk tujuan penjanaan elektrik.

Hal ini bukan sahaja mustahak bagi mengarahkan hala tuju dasar dan strategi tenaga negara agar memastikan bekalan tenaga yang mencukupi, efisien, selamat, malah bagi menjustifikasikan keperluan membina loji janakuasa nuklear sebagai punca bekalan elektrik baru.

Ini memandangkan Jerman, antara pengguna tenaga terbesar di dunia (keenam dalam penggunaan global dari 2004-07), juga bertekad menghentikan kesemua penjanaan dan penggunaan tenaga nuklear menjelang tahun 2022 dan digantikan dengan tenaga boleh diperbaharui.


Bahagian 2 (akhir):

Kenapa nuklear, bukan teknologi kitar sisa?

Lihat Komen
ADS