Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Tidak dapat dinafikan, penjanaan tenaga menggunakan sumber tidak boleh diperbaharui seperti bahan api fosil seharusnya digantikan secara beransur-ansur.

Bagaimanapun loji janakuasa nuklear bukan satu-satunya jalan penyelesaian.

Sebaliknya, teknologi dan kaedah mengguna pakai sisa pepejal sebagai sumber penjanaan tenaga seperti batang, pelepah dan tandan buah kelapa sawit kosong sebagai sumber penjanaan tenaga, yang lebih dikenali sebagai waste-to-energy atau energy-from-waste (WtE) patut diberi pertimbangan dan perhatian terlebih dahulu.

Ini memandangkan sisa pepejal semakin meningkat akibat kegagalan projek 3R ( recycle, reuse and reduce ) mendapatkan sambutan masyarakat.

Menurut Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan pada April lalu, sisa pepejal dalam negara ini bertambah pada kadar purata 3.7 peratus setiap tahun.

Situasi sebegini sekali gus memberi kesempatan kementerian terbabit untuk merasionalisasikan pembinaan insinerator bagi tujuan pelupusan sisa pepejal yang semakin membukit dan dijadikan alasan untuk projek pembinaan di kawasan perumahan.

Kunjungan KPRU ke laman sesawang kementerian itu mendapati, pemerintah juga bercadang membina loji WtE.

Loji menggunapakai teknologi tersebut terbukti satu penyelesaian dalam merawat sisa pepejal, seperti disaksikan di negara Eropah termasuk Denmark, Jerman dan Austria, serta negara Asia seperti Singapura, Taiwan dan Jepun.

Di Malaysia, beberapa lokasi masing-masing di Kuala Lumpur (Taman Beringin), Johor (Bukit Payung) dan Melaka (Sungai Udang) dicadangkan bagi pembinaan loji WtE.

Teknologi WtE satu bentuk pemulihan tenaga di samping kemudahan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam merawat sisa, di mana tenaga elektrik dan haba, mahupun komoditi bahan api seperti diesel akan dihasilkan secara langsung melalui pembakaran.

Berbanding menghantar sisa pepejal ke tapak pelupusan atau insinerator untuk dimusnahkan begitu sahaja, teknologi seumpama mampu mengubah dan memanfaatkan bahan buangan itu.

Ia pada asalnya beban kemudian dirawat dan dijadikan aset, dan sekali gus menyumbang kepada pemeliharan dan pemuliharaan alam sekitar serta kesihatan.

KPRU ingin menekankan bahawa usaha tersebut tidak harus berhenti pada peringkat pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam sahaja, tetapi sepatutnya diterapkan ke dalam dasar tenaga negara agar ia berpeluang memainkan peranan lebih penting sektor penjanaan tenaga.

Di Denmark yang hanya mempunyai kira-kira 5.6 juta populasi, terdapatnya 29 buah loji sedemikian untuk keperluan 98 majlis perbandaran, setakat tahun 2010.

Di Majlis Perbandaran Horsholm, Copenhagen, masyarakat setempat bergantung kepada loji itu untuk membekalkan 80 peratus tenaga haba dan 20 peratus elektrik.

Di Singapura, insinerator WtE terbesar, iaitu Loji Insinerator Tuas Selatan mampu membakar lebih kurang 3,000 tan sisa pepejal dan menjana 150 MWh elektrik setiap hari.

Sebanyak 80 peratus daripada kapasiti penjanaannya dijual manakala 20 peratus lagi digunakan bagi memenuhi permintaan loji itu sendiri.

Bersama-sama dengan tiga lagi loji WtE yang lain dalam negara Singapura, sejumlah 2,688 MWH elektrik dijana setiap hari melalui pembakaran 7,475 tan sisa pepejal.

Selain itu, negara-negara yang menggunapakai teknologi penjanaan tenaga daripada sisa pepejal juga didapati mempunyai kadar kitar semula lebih tinggi secara perbandingan dengan negara lain.

Misalnya, menurut pengurus jabatan pengurusan sisa pepejal dan sumber di Jabatan Alam Sekitar Kebangsaan Singapura, daripada 19,862 tan sisa pepejal yang dihasilkan setiap hari, secara purata, 60 peratus (11,846 tan) dikitar semula, 7,455 tan dihantar ke kemudahan insinerator dan 541 tan (3 peratus) selebihnya sisa pepejal yang tidak dapat dilupus dihantar ke tapak pelupusan.

Antara negara maju, Switzerland mencapai kadar kitar semula yang tertinggi, di mana 52 peratus sisa pepejal dikitar semula.

Ini diikuti oleh Austria 49.7 peratus, Jerman (48 peratus), Netherlands 46 (peratus) dan Norway (40 peratus) yang berada di kedudukan kelima.

Tetapi dukacita dimaklumkan bahawa Malaysia ketika ini hanya mencatatkan kadar kitar semula 10.5 peratus sahaja sedangkan sampah dijana sehari mencecah 33,000 tan – angka yang berlipat ganda dalam tempoh kurang satu dekad.

(Malaysia menjana 17,000 tan sisa pepejal sehari secara purata pada tahun 2005).

Hal ini mengakibatkan sebanyak 95 hingga 97 peratus daripada sisa pepejal yang dikutip di Semenanjung Malaysia terpaksa dibuang ke tapak pelupusan begitu sahaja.

Manakala kira-kira 3 hingga 5 peratus diproses di kilang kitar semula.

KPRU ingin bertanya, adakah loji janakuasa nuklear diperlukan sebagai sumber tenaga alternatif dalam negara ini sedangkan berpuluh-puluh ribu tan sisa pepejal yang dijanakan sehari tidak dimanfaatkan sepenuhnya sebagai aset punca penjanaan tenaga?

Adakah pemerintah begitu yakin menghadapi ketidaktentuan yang mungkin berlaku pada loji janakuasa nuklear dan seterusnya menangani akibat pencemaran yang tidak terukur parahannya, yang gagal ditangani negara besar maju seperti Jerman dan Jepun?


Bahagian 1: Jerman tinggalkan nuklear, tapi M'sia...

Lihat Komen
ADS