Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Zam: 'Tahaluf siyasi' PAS gali kubur Hadi
Diterbitkan:  Oct 6, 2014 6:25 PM
Dikemaskini: 10:29 AM

Bekas menteri Umno mendakwa presiden PAS Datuk Seri Hadi Awang menggali kubur sendiri apabila memberi laluan kepada tahaluf siyasi (kerjasama politik) parti  itu dengan orang bukan Islam.

Tan Sri Zainuddin Maidin berkata "mengorbankan" dokumen negara Islam yang diperjuangkan dengan tahaluf siyasi pada muktamarnya tiga tahun lalu menyebabkan Hadi "ditelan" penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim atau “Anwarinas”.

"Sebenarnya beliau menggali kuburnya sendiri dari sejak muktamar PAS 2011.

"Strategi beliau untuk menyelamatkan PAS dengan mengorak langkah radikal dan dinamik samalah dengan langkah (Tun) Mahathir (Mohamad) membawa masuk Anwar ke dalam Umno dengan tujuan untuk menyelamatkan masa depan Umno dari ditelan oleh PAS.

"Tetapi akhirnya Mahathir hampir ditelan oleh Anwar tetapi beliau bernasib baik dalam keadaan lemas ada anggota Majlis Kerja Tertinggi yang sanggup menyelamatkannya," katanya.

Zainuddin yang juga bekas ketua pengarang Utusan berkata serangan DAP dan PKR semasa dan selepas krisis menteri besar Selangor membuktikan kerjasama itu menyebabkan PAS tidak lagi mempunyai kekuatan.

Nasib Asri Muda

Malah beliau menjangkakan Hadi ( bawah ) akan menerima nasib yang sama dengan pemimpin bekas presiden PAS yang beraliran nasionalis Datuk Asri Muda dan disingkirkan pemimpin “liberal, sekular, profesional dan tidak beridentiti”

"Dalam keadaan sekarang DAP dan PKR melihat PAS tidak lagi mempunyai peluang untuk kembali kepada kekuatan asalnya malah sedang mencari jalan untuk survival dan bukannya untuk memulihkan kekuatan.

"PAS sekarang berada dalam keadaan cedera parah.

"DAP dan PKR hanya menunggu untuk melihat tindak tanduk Hadi yang lebih membuka peluang kepada mereka untuk menolak beliau ke dalam jurang yang lebih dalam dan melemaskannya," kata beliau.

PAS dikritik hebat kerana didakwa tidak mahu bekerjasama menyokong calon menteri besar Selangor yang asal Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan dianggap PKR dan DAP menjadi sebab utama krisis itu berlarutan selama lebih dua bulan.

Dua ADUN PAS Selangor turut dipanggil oleh jawatankuasa disiplin parti itu kerana menyokong akuan bersumpah menyokong Azizah bagi menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim Ogos lalu.

Timbalan presiden PKR Azmin Ali pula dipilih oleh istana dua minggu lalu sebagai menteri besar ke-15 Selangor dan kedua untuk PKR.

Lihat Komen
ADS