Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Islam tak dipertahan dengan ancam bakar Bible'

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas tindakan tidak mendakwa Presiden PERKASA, Datuk Ibrahim Ali berhubung ancamannya untuk membakar Bible bahasa Melayu kerana beliau "hanya mempertahankan kesucian agama Islam".

Ini kerana menurut beliau ajaran Islam tidak membenarkan perbuatan mengancam dan menindas agama lain.

"Saya fikir ini menunjukkan pihak berkuasa tidak bertanggungjawab dalam hal ini.

"(Membakar Bible untuk mempertahankan Islam) itu pendapat Umno atau menteri. Ia tidak pernah ditoleransikan. Pemahaman saya mengenai Islam adalah anda perlu hormati kepercayaan dan teks agama," kata beliau ketika ditemui wartawan di lobi Parlimen hari ini.

Anwar berkata demikian membalas jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri semalam.

Menurut Nancy lagi, kata-kata yang diucapkan oleh Ibrahim adalah ditujukkan kepada individu-individu yang telah mengedar naskhah Bible yang mengandungi kalimah Allah dan juga tulisan Jawi kepada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Jelutong, Pulau Pinang, termasuk pelajar Melayu.

Nancy berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada Lim Guan Eng (DAP-Bagan) yang bertanya mengapa Ibrahim belum didakwa.

Ibrahim dalam sidang akhbar di Pulau Pinang dilaporkan menggesa umat Islam supaya "merampas" dan "membakar" bible tersebut.

Anwar mengulas kenyataan Ibrahim sebagai mengejutkan dan tidak sepatutnya dipertahankan apatah lagi dengan alasan mempertahankan Islam.

Bahkan beliau mendakwa tindakan itu bermotif politik semata-mata kerana beberapa siri pendakwaan terpilih menggunakan Akta Hasutan kepada pihak tertentu sahaja.

"Anda sekarang dapat melihat mereka yang immune dari proses perundangan.

"Secara prinsip saya tidak bersetuju dengan sekarang tindakan (akta Hasutan) terhadap Pakatan atau BN kerana saya berpendapat ia undang-undang kuno, tidak relevan dan menindas, tetapi turut digunakan secara tidak konsisten," kata beliau.

Lihat Komen
ADS