Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MAIS kesal peserta peluk, cium anjing
Diterbitkan:  Oct 21, 2014 8:27 PM
Dikemaskini: 1:16 PM

Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) kesal dengan tindakan segelintir peserta yang sengaja memeluk dan mencium anjing dalam acara 'Saya Mahu Sentuh Anjing' di Petaling Jaya, Ahad lalu.

Pengerusi MAIS, Mohamad Adzib Mohd Isa berkata, perlakuan tersebut bertentangan dengan hukum syarak dan bertentangan dengan tujuan sebenar acara berkenaan, sepertimana yang diluluskan.

“Perlakuan memegang, memeluk dan mencium anjing oleh orang Islam dengan sengaja seperti yang berlaku pada hari tersebut amatlah dikesali kerana perlakuan tersebut bertentangan dengan hukum syarak.

“Ini juga tidak sama sepertimana yang digambarkan oleh penganjur serta tidak menepati objektif program seperti yang disebut dalam surat permohonan penganjur,” kata Mohamad Adzib dalam kenyataanya.

Beliau mengulas kontroversi yang timbul apabila gambar hadirin beragama Islam merangkul, mengusap dan bermesra dengan anjing pada majlis itu dimuat naik di laman sosial.

Jelasnya, surat permohonan penganjur sebaliknya menggariskan tujuan untuk memberi kefahaman atau hukum berkaitan kedudukan anjing dari sudut Islam.

Selain itu, penganjur juga ingin mendidik peserta mengenai kaedah penyucian dan juga keperluan untuk menyelamatkan anjing dalam situasi darurat, kata Mohamad Adzib.

“Objektif yang digariskan oleh penganjur dalam surat bertarikh 3 Oktober 2014 adalah untuk memberi persepsi sebenar kepada umat Islam tentang keperluan untuk menyelamatkan anjing dalam situasi kecemasan seperti kesakitan atau terbiar.

“(Seterusnya, ia menggariskan) keadaan bagaimana yang mengharuskan orang Islam menjadikan anjing sebagai haiwan peliharaan, kaedah yang betul untuk memegang dan mengendalikan anjing, kaedah menyamak apabila ada berlaku sentuhan dalam keadaan lembap dengan anjing dan kaedah sertu dan penggunaan sabun yang dibuat dari tanah liat bagi tujuan penyucian.”

Mohd Adzib juga menjelaskan bahawa Jabatan Mufti Selangor mengeluarkan panduan yang menegaskan bahawa anjing tetap haram disentuh dalam keadaan basah.

"Walaupun anjing banyak memberi manfaat kepada manusia, tetapi Allah mengharamkan kita menyentuhnya dengan keadaan kita basah dan dia kering atau sebaliknya.

"Persentuhan ini dianggap sebagai najis berat (mughallazah). Tetapi jika kedua-duanya kering tidaklah dianggap najis.

"Oleh itu jika ingin menjadikan anjing sebagai penjaga rumah atau untuk berburu, ia hendaklah ditambat di luar rumah untuk mengelakkan kita terlibat dengan najisnya," kenyataan itu dipetik.

Lihat Komen
ADS