Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Datuk Seri itu diberi tanpa saya minta'
Diterbitkan:  Dec 4, 2014 3:59 PM
Dikemaskini: 8:05 AM

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau menjunjung kasih terhadap penganugerahan 'Datuk Seri' Selangor kepadanya sebelum ini walaupun ia kemudian dibatalkan istana.

Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Sulit sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani bahawa darjah kebesaran Seri Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSSA) ditarik balik berkuatkuasa 3 November.

“Darjah kebesaran SSSA ini telah dikurniakan kepada saya pada tahun 1992 oleh almarhum Tuanku Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah tanpa saya membuat sebarang permintaan atau permohonan, dan saya menjunjung kasih terhadap ihsan almarhum Tuanku yang telah berkenan untuk mengurniakan penghormatan ini kepada saya,” katanya.

Istana Selangor hari ini mengumumkan bahawa gelaran “Datuk Seri” yang diberi pada Anwar dibatalkan atas alasan beliau mempersoal kewibawaan dan kuasa sultan dan institusi raja ketika krisis menteri besar Selangor sebelum ini.

Ketegangan dengan istana itu muncul apabila PKR sebelum ini bertegas untuk menamakan seorang calon pengganti Tan Sri Khalid Ibrahim walaupun istana mahukan lebih nama.

Walaupun gelarannya ditarik balik, Anwar masih boleh menggunakan gelaran “Datuk Seri” kerana menerima tujuh lagi darjah kebesaran sama daripada negeri lain.

Dalam kenyataannya hari ini, Anwar menjelaskan beliau akan tetap menjunjung perlembagaan, raja berperlembagaan, demokrasi berparlimen serta perjuangan meningkatkan martabat rakyat.

“Pada masa yang sama, saya akan terus bertugas sebagai penasihat ekonomi Selangor demi menjaga kepentingan negeri Selangor dan rakyatnya,” katanya.

Lihat Komen
ADS