Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau tidak pernah bertindak sehingga mengemukakan saman untuk menangani kritikan semasa mengetuai pentadbiran negara.

Katanya, beliau hanya akan mengemukakan jawapan kepada masyarakat umum apabila terdapat isu yang timbul.

"Pada masa dulu, saya tidak pergi ke mahkamah. Saya hanya jawab (kritikan).

"Jika tindakan saya betul, apa yang nak ditakutkan? Orang akan percaya (jika tindakan itu betul),” katanya kepada pemberita di satu acara syarikat pengeluar kereta negara, Proton di Kuala Lumpur.

Mahathir mengulas tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang mengemukakan notis tuntutan kepada MP pembangkang, Tony Pua dan Rafizi Ramli.

Awal tahun ini, Najib turut mengemukakan saman ke atas Malaysiakini berhubung tulisan komen pembaca. Ia dilihat sebagai saman yang julung kali dikemukakan oleh seorang perdana menteri Malaysia ke atas media.

Mahathir berkata, Najib bagaimanapun berhak untuk mengemukakan saman.

“Bagaimanapun, sebagai ahli politik, diserang, dikritik, difitnah oleh orang itu perkara biasa.

"Bagi saya, tidak perlu pergi ke mahkamah tetapi bagi perdana menteri, mungkin berguna bagi dirinya,” kata Mahathir.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS