Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Isu 'Allah': Polis siasat kenyataan Guan Eng

Polis Pulau Pinang membuka kertas siasatan berhubung kenyataan Ketua Menteri Lim Guan Eng mengenai isu penggunaan kalimah Allah kepada orang bukan beragama Islam di negeri ini.

Ketua Polis Negeri Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata siasatan dijalankan di bawah Kertas Enkuari Polis (KEP) selepas pihaknya menerima satu laporan polis berhubung kenyataan berkenaan semalam.

"Ya memang polis ada terima satu laporan berkenaan kenyataan ketua menteri (Lim) dan setakat ini kami hanya menerima satu laporan polis, kami telah pun membuka kertas siasatan di bawah KEP.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan dan biar polis jalankan siasatan. Mungkin kami akan panggil beberapa pihak untuk bantu siasatan," katanya kepada pemberita di George Town hari ini.

Beliau ditemui selepas mengadakan Operasi Pencegahan Jenayah peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, pada awal pagi di George Town.

Semalam, Pergerakan Pemuda Umno Bukit Mertajam membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah, di Bandar Perda dekat George Town berhubung kenyataan Lim kerana mendakwa ia merupakan satu campur tangan ketua menteri dalam hal ehwal agama Islam.

Lim, seperti dilaporkan beberapa portal berita pada Jumaat, memberi kebenaran kepada orang bukan Islam di Pulau Pinang menggunakan kalimah Allah.

Ketua Menteri dilaporkan berkata larangan penggunaan kalimah Allah yang termaktub dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Pulau Pinang 2004 tidak terpakai kepada bukan Islam kerana penguatkuasaannya hanya sah kepada orang Islam.

- Bernama

Lihat Komen
ADS