Dalam usahanya untuk mengelak daripada terjebak dalam sebarang kontroversi, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo meminta supaya dihentikan sebarang spekulasi berhubung pencalonannya bagi jawatan naib ketua Pergerakan Umno.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, beliau yang juga pengerusi badan perhubungan Umno Selangor, berkata sebarang spekulasi perlu dihentikan demi perpaduan dan kekukuhan Umno.

Sebaliknya, katanya, beliau hanya bersedia untuk bertanding kerusi Majlis Tertinggi (MT) jika mendapat sokongan bahagian Umno yang sedang bersidang di seluruh negara.

Menurut Bernama , Dr Mohd Khir berkata, pendiriannya itu selaras dengan keputusan yang telah diambil oleh mesyuarat Exco Pemuda Umno Pusat pada 9 Julai lalu mencalonkan beliau untuk bertanding kerusi MT.

Dr Mohd Khir, yang telah menerima satu pencalonan bagi jawatan naib ketua pemuda, bagaimanapun mengucapkan terima kasih terhadap kepercayaan dan keyakinan Pemuda bahagian berkenaan yang telah mencalonkan beliau bagi jawatan itu.

Sabtu lalu, Pergerakan Pemuda Umno bahagian Tasek Gelugor pada persidangan perwakilan bahagian berkenaan telah mencalonkan beliau untuk bertanding bagi jawatan Naib Ketua pergerakan pusat itu.

Gempar

Sementara itu, Dr Mohd Khir juga meminta polis mengambil tindakan terhadap individu yang terlibat dengan kes penemuan pistol mainan yang menggemparkan persidangan perwakilan Wanita Umno bahagian Kuala Selangor semalam.

Sepucuk pistol ditemui atas tempat duduk Ketua Penaja Wanita Umno Bahagian itu Datin Mesrah Selamat di selepas persidangan berhenti rehat seketika untuk jamuan ringan.

Ketika meminta polis menyiasat kes tersebut, Dr Mohd Khir berkata perbuatan seperti itu, walaupun untuk tujuan bergurau, tidak seharusnya berlaku.

"Kita boleh bergurau tetapi jangan sampai menimbulkan keraguan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri seminar Pelan Tindakan Pembangunan Belia Nasional 2004 di Shah Alam hari ini.

"Kita tidak mahu budaya tidak sihat ini menular. Siapa yang terlibat perlu diambil tindakan sebagai pengajaran pada yang lain," kata beliau yang juga Menteri Besar Selangor.

Berikutan kejadian itu, persidangan tersebut yang diadakan di Dewan Tertutup Kuala Selangor, tertangguh kira-kira dua jam.

Laporan polis

Penemuan itu dilaporkan kepada polis dan pasukan polis yang menyiasat, mengesahkan pistol berkenaan adalah pistol mainan.

Semalam, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, DSP Che Hussin Omar berkata ketika mesyuarat hendak disambung semula, setiausaha bahagian berkenaan, Noorlelawati Abu Bakar ternampak sesuatu yang mencurigakan berada di atas kerusi berkenaan.

Katanya, anggota polis yang kebetulan bertugas di tempat itu dan memeriksa pistol itu dan mengesahkan ia adalah pistol mainan.'

Beliau juga mengesahkan Mesrah membuat laporan polis terhadap kejadian itu dan persidangan perwakilan bahagian itu diteruskan.

Pada persidangan itu Mesrah menghadapi tentangan daripada Dr Zahrah Abdul Kadir bagi merebut jawatan Ketua Wanita Bahagian itu.