Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

WAWANCARA Naib Ketua Umno Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan yakin laporan polisnya terhadap pengurusan 1MDB hujung minggu lalu akan menyelamatkan karier Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Tegasnya, suara-suara dalam Umno yang mengkritiknya perlu melihat laporan itu sebagai satu tanggungjawab "fardhu kifayah".

Beliau juga yakin ia sekaligus akan memulihkan keyakinan orang ramai terhadap Umno terutamanya generasi muda.

"Orang macam saya ini bukan orang yang hendak menjatuhkan presiden Umno.

"Orang macam saya inilah yang hendak membantu presiden Umno. Tindakan saya kelmarin disanjungi dan dipuji oleh rakyat jelata yang memuji Umno.

"Saya hendak maklumkan kepada segelintir orang Umno yang tak setuju dengan tindakan saya - sayalah orang yang sedang membetulkan semula imej Umno hari ini.

"Saya membuat laporan polis terhadap sebuah syarikat swasta, bukan terhadap Umno," kata Khairuddin dengan yakin dalam wawancara dengan Malaysiakini.

Sebaliknya tegas beliau, mereka yang akan menjatuhkan Najib dalam Umno adalah golongan yang "melalaikan Najib dengan bodekan" yang membuat presiden Umno dan perdana menteri menjadi leka.

'Bunuh karier'

"Inilah orang yang sebenarnya mahu membunuh karier politik perdana menteri. Bukan orang macam saya," katanya.

Beliau bagaimanapun tidak menamakan secara khusus mana-mana pemimpin yang dilihat berbuat demikian.

Khairuddin hadir ke studio KiniTV pagi Sabtu lalu untuk wawancara ini dengan mengenakan jaket ringan rona kelabu yang menutup baju-T biru gelapnya.

Beliau juga mengenakan cermin mata tangkai merah jambu dan rim berwarna hitam serta rambut dengan potongan ala hipster.

Penampilan Khairuddin ini menyimpang dari kebiasaan ahli politik Umno yang biasa dilihat berkot atau berbaju batik. 

Namun, di sebalik penampilan santai tersebut, Khairuddin mempunyai mesej yang cukup serius buat Najib.

"Pendapat peribadi saya, perdana menteri selaku menteri kewangan Malaysia harus bertindak dan mengambil pendekatan secara tegas untuk menstruktur semula 1MDB ini secara menyeluruh

"Beliau perlu membuktikan ini kepada rakyat sekiranya beliau mahu mendapatkan keyakinan semula daripada rakyat tentang isu 1MDB," tegasnya.

Senada dengan Pakatan

Menurut Khairuddin, seruan untuk menyusun semula 1MDB adalah amat jelas apabila tiga orang bekas menteri kewangan sudah menyatakan kerisauan mereka tentang 1MDB.

Mereka yang dimaksudkan itu adalah Tun Daim Zainuddin, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Justeru, beliau tidak risau jika dilihat senada dengan Pakatan Rakyat yang turut mengkritik pengurusan 1MDB.

"Ini satu isu yang kebetulan dan tidak dirancang. Kebetulan pembangkang membawa isu ini, dan kita yang segelintir ini dalam Umno pun perjuangkan isu ini," jawabnya.

Ditanya tentang tindakan perdana menteri menyaman pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat yang mengkritik 1MDB. Khairuddin menjawab:

"Saya tidak risau langsung. Sebesar zarah pun saya tidak mempunyai perasaan risau kerana saya percaya kepada perjuangan saya menegakkan kebenaran.

"Saya tidak pernah takut kepada mana-mana tokoh pemimpin, saya hanya takut kepada Allah SWT. Itulah bekalan semangat saya".

Di penghujung wawancara, Khairuddin berikrar untuk melakukan satu lagi kejutan apabila selesai melanjutkan kajiannya tentang 1MDB.

"Saya sedang mengkaji untuk mencari satu 'missing link' di dalam 1MDB - personaliti-personaliti tertentu yang kemungkinannya mengawal 1MDB dari jauh melalui belakang tabir tanpa berada di hadapan.

"Saya sedang membuat satu penelitian dan siasatan yang amat rapi tentang perkara ini," tegasnya.

Semalam: Langkah 'Abang K' bakal tumbangkan Najib pula?

Lihat Komen
ADS