Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Aktivis sosial Datuk Marina Mahathir berkata, beliau berharap agar undang-undang hudud tidak akan dilaksanakan di Kelantan.

Katanya, beliau tidak mengetahui kaedah yang digunakan untuk meluluskan undang-undang tersebut, namun beliau tetap berpandangan bahawa ia bukan masa yang sesuai untuk melaksanakan undang-undang tersebut.

"Saya tak tahu mengenai cara undang-undang di Parlimen, saya tak berapa faham. Tetapi saya harap ini (undang-undang hudud) tidak akan lulus.

"Ini bukan masanya untuk laksana undang-undang hudud macam ini. Lebih-lebih lagi dalam masyarakat yang pelbagai bangsa dan agama,” katanya.

Beliau berpendapat bahawa pelaksanaan undang-undang itu akan menyebabkan masyarakat berpecah-belah kerana penguatkuasaan undang-undang berbeza.

"Walaupun cakap (akan dilaksana) hanya untuk Muslim sahaja, tetapi kita semua bercampur kaum dan bangsa.

"Saya rasa warga Malaysia yang bukan Muslim tentu tak sampai hati untuk tengok orang Islam dikenakan hudud. Ini akan memecah-belahkan masyarakat kita," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita elepas majlis menamakan ruang VIP sempena nama ibunya - Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali - di Wisma Institut Pengurusan Wanita (WIM), hari ini.

 
Kerajaan Kelantan akan mengadakan satu sidang khas Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 29 Disember ini. 
 
Ia antaranya bertujuan untuk mengemukakan satu pindaan Rang Undang-undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2014). 
 
Pada 30 November lalu, bernama melaporkan Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah sebagai berkata, Jawatankuasa Teknikal Pusat mengenai hudud akan bermesyuarat untuk merumuskan dan mencadangkan kepada kerajaan negeri serta pusat bagi memastikan ia dapat direalisasikan tahun depan. 
 
Bagaimanapun, pelaksanaan undang-undang itu mendapat tentangan antaranya daripada DAP. 

Di majlis berkenaan, Dr Siti Hasmah memperlihat bakatnya bermain biola bersama cucunya dengan mendendangkan tiga buah lagu antaranya lagu Getaran Jiwa. 
 
Sebelum itu, Dr Siti Hasmah turut memberitahu hadirin bahawa beliau sudah lebih daripada 40 tahun tidak bermain biola. 
 
Bagaimanapun, sejak tahun 2012, beliau mula berjinak kembali bermain alat muzik berkenaan.

 
Lihat Komen
ADS