Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MB Pahang bersumpah tak pernah terima rasuah
Diterbitkan:  Dec 20, 2014 9:12 AM
Dikemaskini: 1:14 AM

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob bersumpah dalam sidang DUN Pahang hari ini bahawa beliau tidak pernah menerima rasuah daripada pekebun sayur di Cameron Highlands.

"Demi Allah, demi Rasul, di dalam dewan yang mulia ini saya bersumpah, saya dan Exco tidak pernah menerima apa-apa rasuah daripada pekebun sayur di Cameron Highlands.

"Tetapi jangan pula apabila saya bersumpah begini ada yang mengata saya ada terima daripada sumber yang lain pula," katanya pada sesi penggulungan sidang DUN.

Menurutnya kerajaan negeri Pahang telah lama menghentikan pengeluaran kelulusan lesen menduduki sementara (TOL) di Cameron Highlands iaitu sejak tahun 2000 dalam usaha memelihara tanah tinggi itu daripada penerokaan tidak terkawal.

Malah katanya, bermula 2007 setiap pembaharuan lesen TOL juga perlu dibawa dalam mesyuarat kerajaan negeri untuk keluluasan dan bukannya menerusi pejabat daerah lagi.

Adnan berkata langkah itu dilakukan bertujuan untuk mengelakkan rasuah dalam kalangan pentadbir di peringkat daerah itu.

"Tetapi apabila saya lakukan tindakan itu ramai pula menyangka saya dan Exco, nak makan duit rasuah sayur,".

Sementara itu dalam perkembangan lain, Adnan berkata tahun 2017 akan dijadikan sebagai Tahun Melawat Pahang dalam usaha kerajaan negeri untuk membawa industri pelancongan di negeri ini ke tahap lebih tinggi.

"Kali terakhir Tahun Melawat Pahang ialah pada tahun 1994 dan Pahang mempunyai banyak produk yang boleh diketengahkan seperti Taman Negara dan acara-acara bertaraf antarabangsa.

"Persiapan untuk Tahun Melawat Pahang (TMP) 2017 sedang giat dilakukan... 2016 merupakan tahun pemasaran dan promosi," katanya.

Beliau berkata disasarkan seramai 15 juta pelancong akan berkunjung ke negeri ini dengan membuat perbelanjaan sebanyak RM9.9 bilion sempena TMP 2017.

- Bernama

Lihat Komen
ADS